Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saman Saifuddin terhadap Zuraida diselesai secara mediasi

Saman fitnah yang difailkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin akan diselesaikan secara mediasi.

Peguam William Leong yang mewakili Saifuddin memberitahu Malaysiakini kedua-dua pihak akan melakukan mediasi dalam talian pagi ini berhubung tindakan undang-undang yang diambil anak guamnya terhadap Zuraida, yang merupakan bekas naib presiden PKR.

"Mediasi antara Saifuddin Nasution dan Zuraida pada hari ini jam 9.30 pagi berhubung tuntutan saman fitnah berkenaan. Ia (dijalankan) secara dalam talian,” kata Leong.

Semakan senarai kausa dalam talian di ecourtservices.kehakiman.gov.my menyatakan mediasi dalam talian itu dilakukan di hadapan Pengarah Bahagian Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur, Wan Fadhilah Nor Wan Idris pada jam 9.30 pagi ini.

Tahun lalu, Saifuddin memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Ampang itu atas tuduhan berkaitan dengan kerajaan Kelantan dan Tabung Amanah Tok Kenali.

Saifuddin sebelum ini berkata dia dilantik sebagai pengurus Tabung Tok Kenali pada 2004 hingga 2007 oleh menteri besar Kelantan ketika itu, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sementara itu menurut salinan surat dari Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur yang difailkan dalam sistem e-filing kehakiman pada 8 Julai tahun ini, plaintif dan defendan menyatakan persetujuan menyelesaikan saman itu secara mediasi.

Saman fitnah itu difailkan ketika PKR memberikan surat tunjuk sebab terhadap Zuraida berhubung kenyataan dibuatnya terhadap Presiden PKR ,Anwar Ibrahim pada satu majlis makan malam pada 8 Disember 2019, di tengah-tengah kemelut politik yang melanda parti itu.

Zuraida antara pemimpin yang menyokong timbalan presiden PKR pada masa itu, Azmin Ali.

Dia dilantik sebagai menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang awal tahun lalu.

Saifuddin merupakan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan ketika pentadbiran kerajaan PH.

PKR sebelum ini turut memfailkan saman RM10 juta terhadap Zuraida kerana meninggalkan parti itu tahun lalu.