Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Hitam adalah perlawanan

ULASAN | Arena tinju politik negara tidak pernah berhenti berehat walaupun pada musim pandemik Covid-19. Perebutan kuasa kerajaan sentiasa berlaku.

Ia dimeriahkan lagi dengan cerita-cerita berkenaan dengan gerakan perlawanan rakyat yang mengangkat warna hitam sebagai latar perjuangan mereka.

Ia bermula dengan sebuah protes Hartal Doktor Kontrak pada 26 Julai 2021 yang  dilakukan oleh sejumlah doktor muda seluruh Malaysia yang mengangkat warna hitam sebagai warna latar perjuangan mereka. Peserta protes hartal keluar menjayakan acara mereka dengan memakai pakaian berwarna hitam.

Terbaharu, pada 31 Julai lalu sebuah gerakan anak muda telah mengadakan demonstrasi di Kuala Lumpur juga mengangkat warna hitam sebagai tema perlawanan mereka. 

Mereka berbaju hitam dan mengibarkan bendera hitam sebagai tunjuk rasa melawan terhadap apa yang dirasakan tidak kena dengan keadaan politik di Malaysia pada ketika ini.

Black Bloc

Setiap kali berlakunya demonstrasi protes di seluruh dunia, kita pasti melihat di televisyen pada segmen berita utama sejumlah penunjuk perasaan yang memakai pakaian serba hitam. Lebih spesifiknya, mereka dikenali sebagai Black Bloc.

Black Bloc secara asasnya merupakan salah satu taktik ketika mengadakan demonstrasi yang dipraktik oleh para aktivis autonomi anti-kapitalisme. Taktik Black Bloc dikatakan pertama kali dipraktik dalam demonstrasi penentangan terhadap loji tenaga nuklear dan pengusiran setinggan di Brokdorf, Jerman pada tahun 1977. 

 

Demonstrasi itu berlanjutan hingga ke tahun 1980 dan mula berkembang ke seluruh dunia selepas itu.

Walaupun mereka yang terlibat dalam taktikal Black Bloc dikatakan bersatu di bawah warna pakaian dan pergaulan yang dipelopori gerakan anarkisme, kepercayaan individu dalam blok boleh dikatakan berbeza-beza.

Hitam untuk anarkisme

"Jika merah untuk sosialis, maka hitam adalah untuk anarkis". Berikut merupakan salah satu rangkap skrip yang terdapat dalam filem The Anarchist yang dikeluarkan pada tahun 2000, mengisahkan sekumpulan anarkis Korea yang menentang pendudukan Jepun di negara mereka.

Hitam untuk anarkis. Ini adalah tanggapan umum untuk setiap aksi perlawanan di seluruh dunia. Ada beberapa alasan kenapa warna hitam sering dikaitkan dengan anarkisme.

Seorang anarkis bernama Nestor Ivanovich Makhno yang berjuang pada revolusi Rusia tahun 1917 telah mengangkat bendera hitam dalam revolusi tersebut. Emiliano Zapata revolusionari Mexico juga mengangkat bendera hitam dalam perjuangganya pada tahun 1910. 

Terdapat banyak kelompok anarkis yang menggunakan perkataan "hitam" pada nama pergerakan mereka. Antaranya, pergerakan anarkis di Jepun yang menamakan mereka sebagai Black Youth League. 

Kumpulan anarkis di California, Amerika merujuk diri mereka sebagai Black Panther. Terdapat juga kumpulan anarkis yang pernah wujud di Malaysia menamakan mereka sebagai Kolektif Kucing Hitam dan juga Black Commune.

Idealogi anarkisme tidak mendapat liputan di Malaysia secara akademik seperti mana idealogi Marxisme dan juga Sosialisme. Namun terdapat pendedahan bahawa anarkisme pernah bertapak di Malaysia sejak tahun 1919 dan terus berkembang sehingga sekarang.

Profesor Tan Sri Dato' Dr Khoo Kay Kim pernah menerbitkan hasil kajian beliau berkenaan gerakan anarkis di Tanah Melayu. Dalam kajian tersebut menjelaskan anarkisme telah wujud di Tanah Melayu sejak tahun 1919 yang mana kebanyakkannya aktif dipraktik di sekitar Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban dan Pulau Pinang. 

Walaupun dalam kajian tersebut menyatakan berakhirnya riwayat gerakan anarkis di Malaysia sekitar tahun 1925, sebetulnya idealogi ini terus berkembang di Malaysia sehingga sekarang.

Apa itu anarkisme?

"Anarkisme adalah sekumpulan kelasi tanpa seorang kapten" - The Anarchist (2000).

Menurut salah seorang tokoh anarkis terkenal, Peter Kropotkin, anarkisme merupakan sistem tanpa pemerintahan tunggal yang menghapuskan eksploitasi dan penindasan yang dilakukan oleh pemerintahan tunggal terhadap kekuasaan yang dimiliki. 

Errico Malatesta juga menyebut Anarkisme adalah teori politik yang bertujuan menciptakan masyarakat tanpa hierarki, saksama dan saling bekerjasama membentuk ekonomi tanpa penindasan.

Dalam kata lainnya, idealogi anarkisme mempraktikkan kehidupan secara kolektif yang saksama, mencapai sesuatu keputusan secara konsensus tanpa menafikan suara minoriti. 

Setiap pendapat akan diraikan dan dibincangkan bersama. Tidak ada penindasan atau sebarang penafian dalam bersuara.

Seperti kebenaran ramalan Dr Mahathir Mohamad mengenai Umno akan ditolak rakyat tahun 2020 akibat rakyat meluat dengan politik wang serta perebutan jawatan dan bukan berjuang untuk rakyat, begitu jugalah mekarnya idealogi bendera hitam ini untuk generasi muda masa kini yang sudah mula mencari idealogi baru untuk mereka sokong.


AHMAD DHANI merupakan pemuda Kelantan yang sering terkesan dengan tingkah-laku dan warna kemanusiaan dan penggemar buah-buahan nadir.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.