Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Cukuplah 30 orang' - Sim gesa henti panggil MP isu perhimpunan

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dari PKR memberitahu polis untuk berhenti memanggil lebih ramai ahli parlimen pembangkang untuk merakam kenyataan berhubung perhimpunan di luar parlimen Isnin lalu.

Dia berkata demikian setelah polis memanggil lebih daripada 30 ahli Parlimen untuk memberi keterangan di balai polis daerah Dang Wangi sejak 4 Ogos.

"Saya sudah tak boleh nak kira, lebih kurang 30 ahli parlimen telah dipanggil.

"Ini adalah jumlah yang paling tinggi dalam sejarah. Tak pernah ada rekod dalam sejarah Malaysia ahli parlimen dipanggil buat (bantu) siasatan berkaitan satu perhimpunan.

"Dulu era Najib Razak jadi perdana menteri pun, satu perhimpunan lima ahli parlimen dipanggil.

"Sekarang, satu perhimpunan dia panggil 30 orang, adakah Muhyiddin Yassin cuba pecahkan rekod?" soal Sim.

Dia menyatakan bahawa Muhyiddin pernah disiasat polis kerana turut serta dalam demonstrasi.

"Saya masih ingat bahawa dia (Muhyiddin) pernah membawa sepanduk yang bertuliskan 'Hormati hak Ahli Parlimen'. Jadi, kami meminta dia menghormati hak kami sebagai ahli parlimen," katanya.

Dia menyatakan bahawa keutamaan anggota parlimen adalah pengundi di kawasan mereka dan bukannya terlibat dalam siasatan polis.

Pada 2 Ogos, semua ahli parlimen pembangkang dari DAP, PKR, Amanah, Muda, Pejuang, Warisan, Parti Sarawak Bersatu dan Upko berhimpun dan cuba berarak ke parlimen.

Mereka juga menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan.

Anggota parlimen, yang membidas pengangguhan hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, berkumpul di Dataran Merdeka.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Selain Sim, seramai 14 ahli parlimen turut diambil kenyataan mereka.

Pada 4 Ogos, enam ahli parlimen pembangkang dipanggil untuk memberi keterangan sementara keesokan harinya menyaksikan tiga lagi ahli parlimen telah dirakam kenyataan .

Lima ahli parlimen yang lain dipanggil pada 6 Ogos.