Mohd Amar: Kalau saya PM, mungkin akan bubar Parlimen jika terus didesak
Pergolakan politik yang sedang berlaku kini disebabkan desakan pihak pembangkang yang mahu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan, kata Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah.
Mohd Amar berkata, risiko yang besar terpaksa dihadapi jika pilihan raya diadakan ketika ini.
Namun, tambahnya, sekiranya dia berada di tempat Muhyiddin, dia mungkin akan membubarkan parlimen susulan desakan yang tidak henti-henti.
"Kalau tanya saya secara peribadi baik kita tunggu, masanya tidak lama. Kalau ditakdirkan pilihan raya kita terdedah kepada risiko yang banyak.
"Kalau saya jadi perdana menteri, orang desak-desak mungkin saya akan isytihar bubar parlimen. Kamu nak sangat, kamu ambillah.
"Kalau saya duduk di situ. Tapi perdana menteri sekarang kita tak tahulah fikiran dia. Kalau saya, kalau kamu nak sangat, kita bagi mandat pada rakyat. Tapi risikonya besar, itu masalahnya," katanya.
Kata Mohd Amar lagi, sekiranya pembangkang cerdik, mereka seharusnya membantu kerajaan untuk menyelesaikan masalah terlebih dahulu.
"Biar stabil semua, lepas itu boleh buat pilihan raya," katanya kepada media ketika hadir ke majlis gimik penyampaian tablet kepada anak-anak pelanggan Ar-Rahn di Ibu Pejabat Permodalan Kelantan Berhad, Kota Bharu, di Kelantan hari ini.
Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian ketika ditanya mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat susulan perkembangan situasi politik semasa.
Terdahulu Muhyiddin berdepan tekanan selepas Umno membuat keputusan untuk menarik sokongan kepadanya dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Selain itu pihak pembangkang mendakwa anggota Parlimen Pagoh itu sudah hilang majoriti, namun Muhyiddin menetapkan agar ahli parlimen menentukan nasibnya melalui undi percaya di Parlimen pada September depan.
Sementara itu Mohd Amar yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor berkata, situasi politik mutakhir ini berlaku kerana desakan pihak pembangkang.
"Yang nak pilihan raya ini pembangkang, yang desak perdana menteri letak jawatan dan nak tukar kerajaan semua kerja pembangkang.
"Sebab itu saya bagitahu, kalau boleh kita fokus kepada mengatasi pandemik dan menyelesaikan isu ekonomi. Kalau kita tunggu pun dua tahun saja, dalam politik ini dua tahun sekejap saja.
"Tapi memang ada orang yang ghairah nak jadi perdana menteri, mimpinya siang malam nak jadi perdana menteri. Jadi sebab itulah isu ini berlaku," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai