Tengku Azlan keluar Bersatu, kembali ke pangkuan Umno
Tengku Azlan Sultan Abu Bakar mengumumkan dirinya kembali ke pangkuan Umno dan meletakkan jawatannya serta-merta sebagai Ketua Bahagian Bersatu Temerloh.
Tengku Azlan menyerahkan borang permohonannya menyertai Umno Bahagian Paya Besar kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang juga Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
Naib Presiden Umno, Khaled Nordin juga hadir pada sidang media itu.
Menurut Tengku Azlan, dia menyokong penuh pendirian Wan Rosdy dalam isu perlembagaan baru-baru ini.
“Sebagai rakyat Malaysia kita semestinya mempertahankan perlembagaan negara tanpa mengira fahaman politik.
“Kita seharusnya mendukung demokrasi berparlimen dan juga Raja Berperlembagaan berdasarkan yang telah termaktlub dalam Rukun Negara sesungguhnya Perlembagaan Negara adalah sebuah institusi tertinggi dalam negara kita,” katanya, lapor Umno Online.
Tengku Azlan bekas ahli parlimen Jerantut dan juga bapa saudara kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Hujung Julai lalu, Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Tengku Azlan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang.
Sebelum ini, BN Pahang berpendapat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ini susulan isu teguran Istana Negara yang memaklumkan Agong "amat dukacita" dengan cara pembatalan ordinan darurat.
Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, Agong juga amat kecewa apabila ordinan darurat itu tidak dibentang dan dibahaskan seperti dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Idrus Harun di hadapan baginda pada 24 Julai lalu.
Sultan Abdullah juga amat dukacita apabila Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan dibuatnya semasa sidang khas berlangsung.
Bagaimanapun, PN mempertahankan tindakan mereka membatalkan ordinan darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara.
Menurut kenyataan PMO, kerajaan sudah menasihatkan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum sidang khas parlimen pada 26 Julai lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai