Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Umno Tapah teruskan hubungan dengan Saravanan meski sokong keputusan MKT

Umno Bahagian Tapah hari ini berkata bahawa hubungan bahagian itu dengan Ahli Parlimen Tapah M Saravanan masih berjalan seperti biasa di sebalik keputusan menyokong penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Tidak ada isu. (Buat masa ini) hubungan dengan MP Tapah masih berjalan macam biasa.

"Tapi, Umno Tapah tetap ikut sebarang keputusan MKT Umno," kata ketua bahagiannya Ishsam Shahruddin, kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika mengulas pendirian Saravanan yang juga timbalan presiden MIC untuk tidak mengikut jejak langkah MKT Umno menarik balik sokongan daripada kerajaan PN dan Muhyiddin.

Untuk rekod, pada 6 Ogos Saravanan berkata bahawa rakyat Malaysia keliru dengan keputusan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan kepada PN dan Muhyiddin.

"Bukan saya, satu Malaysia blur (keliru) apa pendirian BN keluar? Kerajaan jatuh? Kita lebih kurang tidak ada mana-mana pihak untuk tubuhkan kerajaan. Apa nak jadi?" katanya.

Saravanan merupakan salah seorang daripada 31 ahli parlimen BN yang menyokong Muhyiddin seperti diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Dia masih ahli parlimen BN. Sebahagian daripada Umno. Jadi, hubungannya masih macam biasa.

"Tapi, Umno Tapah akan tetap bersama dengan pucuk pimpinan parti. Sebarang keputusan pada masa akan datang dari pucuk pimpinan, Umno Tapah akan sokong.

"Kita harap kemelut politik dapat diselesaikan sebaik mungkin, sayangkan BN sayang Umno harap pucuk pimpinan dapat menyelesaikan keadaan begitu baik. Jasa BN dan Umno cukup besar, kita kena berhati-hati dan berjiwa besar menyelesaikan kemelut ini," kata Ishsam.

Sebelum ini, Umno Tapah menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden Umno berkaitan isu penarikan sokongan terhadap Kerajaan PN dan kepimpinan perdana menteri.

Katanya, hal ini adalah kerana tindakan yang diambil oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin menjurus kepada tidak menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Saravanan merupakan antara dua pemimpin MIC menang pada PRU 14 yang lalu sebelum dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia di bawah Kerajaan PN.