Kadir: Guna kuasa eksekutif k'jaan hentam parti sendiri tindakan pengecut
Bekas pemimpin Bersatu Kadir Jasin membidas pemimpin politik yang menggunakan kuasa eksekutif kerajaan untuk menghentam parti sendiri.
Kadir merujuk "kluster menteri" yang disifatkannya menggunakan kedudukan dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menentang kepemimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas Kadir yang kini bersama parti Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad, tindakan itu tidak menjadikan mereka lebih dihormati berbanding Zahid dan "kluster mahkamah".
"Tetapi cara anggota kluster menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) Umno menggunakan kedudukan dalam kerajaan PN bagi menentang kepemimpinan parti mereka sendiri tidak membantu mereka menjadi lebih dihormati daripada Ahmad Zahid dan kluster mahkamahnya.
"Kalau mereka tidak bersetuju dengan kepemimpinan Zahid dan dengan pengaruh Mohd Najib (Razak) dalam kepemimpinan parti, mereka sepatutnya bertindak sebagai orang berani.
"Mereka sama ada berlawan dengan Zahid dan kluster mahkamah dari dalam atau keluar daripada parti itu. Menggunakan kuasa eksekutif kerajaan untuk menghentam parti sendiri adalah perbuatan pengecut dan salah," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Istilah "kluster menteri" kebelakangan ini digunakan dalam konteks politik Malaysia sebagai merujuk pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Sementara "kluster mahkamah" pula digunakan bagi merujuk pemimpin politik yang mempunyai pertuduhan di mahkamah, termasuk Zahid dan Najib.
Kenyataan Kadir itu hadir selepas semalam, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang juga menteri dalam kabinet PN berkata dia masih setia dengan Umno tetapi mengakui sukar mempercayai presiden partinya, Zahid.
"Ketika ini saya masih lagi dalam kerajaan, sebab saya ada masalah kepercayaan terhadap presiden Umno," katanya.
Kata Khairy, dia akan kekal menyokong kerajaan PN dan akan membuat pendirian apabila Dewan Rakyat bersidang September depan.
“I cannot trust this president, kita bersama (PN) sekarang ini dan kita akan buat pendirian pada sidang nanti," katanya lagi.
Cuba haramkan Umno?
Mengulas lanjut Kadir berkata jika "kluster menteri" berani dan berpekerti tinggi, mereka sepatutnya hadir mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan berbahas secara bersemuka dengan Zahid dan konco-konconya.
"Sebaliknya ada di kalangan mereka yang memegang jawatan dalam MT rasanya tidak hadir mesyuaratnya. Ketua mereka dalam kerajaan PN, Ismail Sabri Yaakob adalah salah seorang naib presiden Umno.
"Sepatutnya dia jadi anak jantan dan berbahaslah secara bersemuka dengan Zahid. Dia timbalan perdana menteri sekarang.
"Kini mereka terbabit pula menggunakan kuasa eksekutif bagi menekan parti mereka sendiri melalui tindakan terbaru Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS)," katanya.
Kata Kadir, perintah terbaru ROS berkaitan pengangguhan pemilihan parti itu adalah tindakan politik.
"Adakah mereka sedang bersubahat menggunakan kuasa eksekutif untuk menyingkir Zahid dan kluster mahkamah dengan tujuan mengambil alih kepemimpinan parti itu?
"Atau mereka mahu Umno diharamkan supaya mereka boleh merampasnya dengan sekali lagi mendaftarkan "Umno Baru"?" katanya lagi.
Pada 6 Ogos lalu, ROS berkata tindakan Umno menangguhkan pemilihan parti tidak sah.
Ketua Pengarah ROS Jasri Kasim berkata keputusan MKT Umno tidak sah kerana penggal pemegang jawatan MKT tamat sebelum keputusan itu dibuat.
Jelasnya, ini kerana keputusan menangguhkan pemilihan itu selama 18 bulan adalah berdasarkan minit Mesyuarat MKT Umno pada 7 Julai lepas, sedangkan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai