Rentas negeri dibenarkan bagi pasangan jarak jauh lengkap vaksinasi
Kerajaan hari ini mengumumkan kelonggaran membenarkan pasangan suami isteri yang duduk berjauhan dan telah lengkap vaksinasi untuk merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan.
Ibu bapa yang lengkap vaksinasi turut dibenarkan untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas sebentar tadi.
"Pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.
"Ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu anak di bawah 18 tahun," katanya.
Untuk rekod, seseorang dianggap lengkap vaksinasi selepas dua minggu menerima dos kedua (bagi vaksin dua dos) atau 28 hari selepas menerima vaksin dos tunggal.
Sementara itu, Muhyiddin menambah bahawa warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia dibenarkan kuarantin kendiri rumah selepas pulang dari luar negara.
"Pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk PR dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital," katanya.
Kata Muhyiddin kesemua kelonggaran yang diumumkan hari ini akan mula berkuat kuasa pada 10 Ogos.
"Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru diumumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai