Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tangani lambakan, Fama proses durian pekebun jadi produk siap

Masalah lambakan durian yang berlaku sejak Jun lalu sememangnya mengundang keluhan setiap pekebun durian di seluruh Kelantan yang terpaksa menjual dengan harga yang sangat rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ditambah pula dengan sekatan pergerakan akibat penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan pekebun dan penjual tidak dapat memasarkan hasil mereka secara lebih meluas.

Di sinilah badan-badan kerajaan perlu memainkan peanan dalam membantu pekebun, terutama pekebun kecil, yang terjejas.

Antara peranana yang boleh dimainkan adalah dari segi pemasaran, pemprosesan, khidmat nasihat dan pendidikan untuk mengelakkan isu ambakan durian berterusan.

Apakah inisiatif Fama?

Justeru, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah mengambil langkah, antaranya membeli durian daripada pekebun dan penjual untuk diproses menjadi produk siap dengan anggaran belian berjumlah RM375,000 untuk musim ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad berkata, aktiviti pemprosesan durian kepada bahan siap yang sedang dijalankan ini merupakan inisiatif Fama untuk menangani isu lambakan buah bermusim, terutama durian.

"Kita mempunyai 12 pusat pemprosesan buah-buahan sejuk beku di seluruh Malaysia, termasuk di Tanah Merah, Kelantan.

"Kita memiliki kapasiti untuk memproses sebanyak 5 tan metrik setiap hari, untuk dijadikan pes, tempoyak dan pulpa.

"Bagi musim ini, pihak kami mensasarkan 100 ke 150 metrik tan buah durian segar untuk diproses kepada produk siap," katanya dalam sidang media ketikatinjauan Ke pusat pemprosesan durian di Pusat Operasi Fama di Machang, 4 April lalu.


Baca: Harga durian kampung jatuh kepada RM2 sekilo di Tanah Merah dan Jeli


Katanya lagi, pihaknya telah membeli durian daripada pekebun-pekebun dengan harga purata RM 2 hingga RM 2.50 sekilogram dari empat daerah yang menjadi pengeluar durian terbesar di negeri itu, iaitu Tanah Merah, Jeli, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

Selain itu, katanya lagi, Fama menempatkan ejen-ejen yang akan membeli durian dari pekebun-pekebun di setiap daerah berkenaan bagi memudahkan pekebun setempat menjual hasil mereka tanpa perlu merentas daerah untuk ke pusat pemprosesan tersebut.

Di mana produk siap dipasarkan?

Mengulas lanjut, Wan Nora berkata, produk siap tersebut mendapat permintaan tinggi memandangkan ia boleh menjadi nilai tambah bagi setiap produk yang dihasilkan oleh pengusaha asas tani di Malaysia.

"Untuk pasaran luar Malaysia, kita akan sediakan sekiranya permintaan tinggi dan harga yang ditawarkan oleh pengeksport munasabah, tetapi masalahnya bekalan untuk pasaran dalam negara pun masih belum mencukupi.

"Sekarang ini pun, kami sudah ada tiga pengeksport utama yang sudah bersetuju untuk membeli produk kita sebelum dieksport ke Singapura dan China," katanya.

Wan Nora menyuarakan harapan yang langkah Fama itu dapat memberi manfaat kepada 600 pekebun dan penjual durian di seluruh Kelantan.

Dengan usaha itu, katanya lagi, rakyat Malaysia bukan sahaja masih berpeluang menikmati produk berasaskan durian walaupun selepas musimnya, hasil durian yang dikeluarkan oleh pekebun-pekebun tempatan juga dapat diselamatkan daripada kerugian akibat kesan lambakan.

Pada 2 Ogos lalu, Malaysiakini melaporkan keluhan pekebun dan penjual durian di sekitar Tanah Merah dan Jeli yang berdepan masalah kemerosotan harga durian yang begitu ketara.

Rata-rata penjual dan pekebun terpaksa melelong dengan harga rugi atau memberikannya kepada penduduk kampung secara percuma untuk mengelakkan hasil mereka terbuang begitu sahaja akibat rosak.