Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Nik Nazmi: Tawaran 'durian RM30' tanda kestabilan politik perlu dikembali segera

Dakwaan usaha terbaru untuk mendapatkan sokongan daripada ahli parlimen PH adalah gejala krisis politik yang membawa kesan nyata kepara orang awam, kata Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam ucapan di laman Facebooknya semalam, Nik Nazmi yang merupakan antara ahli parlimen yang didekati, berkata pemimpin terlalu sibuk menyelamatkan kedudukan sendiri di saat perangkaan dasar negara yang baik sangat diperlukan.

"Politik kita terus bergelumang begini.

"Cara terbaik adalah untuk Perdana Menteri melaksanakan undi percaya dengan segera," katanya.

Nik Nazmi adalah salah seorang daripada lima ahli parlimen PKR yang menerima tawaran "durian RM30" secara tunai serta untuk "menggantikan durian" dari Parit Sulong atau Lenggong.

Ia dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Parit Sulong Nuraini Ahmad dan Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah yang meletakkan jawatan sebagai menteri baru-baru ini.

Empat lagi ahli parlimen PKR yang menerima tawaran sama menerusi pesanan WhatsApp adalah June Seow (Hulu Selangor), Azman Ismail (Kuala Kedah), Chan Ming Kai (Alor Setar) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).

Empat ahli parlimen daripada DAP turut menerima pesanan sama, iaitu M Kulasegaran (Ipoh Barat), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Cha Kee Chin (Rasah) dan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka).

Situasi Nik Nazmi sedikit berbeza di mana pihak yang didakwa membuat tawaran tersebut turut menghubungi pegawai dan bekas pegawainya - tanda pihak tersebut memang kenal dengannya.

Ketika dihubungi, Nik Nazmi tidak menolak kemungkinan yang tawaran tersebut hanyalah "usikan (prank)" tetapi menekankan yang akar masalahnya berpunca daripada ketidakstabilan politik.

"Ia boleh jadi prank atau mungkin pihak terdesak yang diarah untuk melakukannya dengan cepat," katanya.

Katanya lagi, ini bukan kali pertama dia menerima tawaran seumpama itu.

"Selepas 'Langkah Sheraton' tahun lalu, ada pesanan disampaikan kepada pegawai saya, bertanya jika saya berminat untuk mendapatkan semula peruntukan persekutuan seperti yang diterima ahli parlimen kerajaan," katanya.

Dia sekali lagi menegaskan perlunya kestabilan politik diwujudkan untuk menangani perkara itu.

"Apa yang berlaku sekarang lebih kepada 'jual beli katak', bukannya 'jual beli durian'. Bukan semua yang berwarna hijau itu halal," katanya lagi.

Walaupun selepas Umno mengumumkan ia menarik kembali sokongan terhadap kerajaan PN, Muhyiddin menegaskan dia masih ada sokongan majoriti di Parlimen dan akan membuktikannya dalam sidang September depan.

Setakat ini, seramai dua ahli parlimen Umno telah meletakkan jawatan dalam kabinet dan sekurang-kurangnya 12 ahli parlimen secara terbuka menyatakan tidak lagi menyokongnya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan turut membangkitkan dakwaan tawaran sokongan tersebut.

"Musim durian sehingga September?...Berapa banyak lagi laporan sebegini bakal dibuat antara hari ini sehingga undi percaya dilakukan?

"Mungkinkah harga durian juga akan meningkat? Permintaan tinggi, bekalan rendah, masa (pula) suntuk," katanya di Facebook semalam, sambil mengongsikan tangkap layar dakwaan Kulasegaran berhubung tawaran yang diterimanya.