Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Sampai bila rakyat perlu menerima saja nasib?

ULASAN | Pergolakan politik di negara ini entah bila akan selesainya. Kebanyakan watak yang terlibat adalah orang politik yang menggelarkan diri mereka sebagai "pemimpin rakyat" dan menyangka orang ramai tidak menyedari bahawa individu yang berkenaan adalah pembelot atau si putar alam.

Dengan kerakusan itu, yang menjadi mangsa di sepanjang perjalanan mereka ialah rakyat yang ada di bawah.

Semalam Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang media bersama ahli-ahli parlimen BN. Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan sebarang tindakan meletakkan jawatan dan meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional adalah tidak bertanggungjawab kepada rakyat yang berdepan dengan pelbagai kesusahan akibat Covid-19.

Entah berapa kali semasa sidang media itu Ismail Sabri mengulang perkataan "rakyat". Misalnya dia berkata: “Nyawa dan masalah rakyat perlu diberi perhatian dalam setiap kerja yang saya lakukan”.

Tetapi, benarkah orang politik memikirkan rakyat dalam hidup mereka?

Hakikatnya di negara ini selain agama, menunggang rakyat adalah kegemaran yang teratas buat ahli politik kerana ia sangat mudah dilakukan.

Hal itu menjadi lebih mudah kerana begitu ramai rakyat yang merelakan mereka diperlakukan begitu.

Perlu diingatkan sebelum menjadi timbalan perdana menteri Ismail Sabri ialah menteri kanan yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pengendalian isu Covid-19.

Jual beli kedudukan

Realitinya kita semua tahu - ketika itu angka kes positif Covid-19 semakin menaik dan setakat ini belum menampakkan sebarang tanda yang boleh membuatkan kita berasa lega.

Jadi, benarkah alasan "rakyat" di sebalik keputusan pada menteri dan ahli parlimen semasa mereka membuat pendirian?

Kita selalu tertanya-tanya: sampai bilakah rakyat perlu merelakan diri untuk diperdagangkan dengan semurah itu. Ketika orang biasa bersusah payah dengan tulang empat kerat masing-masing mencari penghidupan, orang politik pula sibuk berjual beli kedudukan.

Sampai bila rakyat hanya perlu menerima nasib yang ditimpakan ke atas mereka?

Berapa ramaikah lagi rakyat yang terpaksa mengorbankan diri mereka dalam pandemik ini ketika angka kematian sudah pun melebihi 10,000 orang gara-gara langkah pengurusan pandemik yang tidak kompeten ini?

Harus diingatkan bahawa sebarang jumlah berkaitan Covid-19 sekarang bukanlah sekadar angka. Setiap satu korban itu merupakan kematian ayah, ibu, saudara dan sahabat kepada seseorang.

Dan, jika ada rakyat yang bersuara ingin hak mereka dipertahankan, bersedialah untuk dilabel sebagai manusia yang tidak tidak bersyukur, atau lebih malang, berdepan tindakan undang-undang.

Pencipta fahaman materialisme dialektik dan juga ahli teori masyarakat kapitalis, Karl Marx, menyatakan ekspoloitasi muncul daripada perbezaan antara upah yang dibayar kepada pekerja dengan nilai sebenar hasil usaha mereka.

Jangan berasa pelik

Situasi didepani doktor kontrak adalah contoh kepada situasi berkenaan.

Untuk rekod, pada 26 Julai lalu kumpulan doktor kontrak mengadakan protes untuk menuntut hak mereka meskipun menerima tekanan daripada pihak atasan yang mengancam akan mengambil tindakan tatatertib.

Nasib baiklah parlimen dibuka dan beberapa ahli parlimen mendesak agar doktor kontrak yang menyertai hartal di seluruh negara tidak dikenakan sebarang tindakan

Sementara itu pada saat rakyat bergelut dengan isu seperti kematian, kelaparan, kemurungan dan kehilangan punca pendapatan akibat tiada pekerjaan kerajaan melantik pula seorang ahli parlimen menjadi penasihat kepada perdana menteri.

Ia bukanlah lantikan biasa-biasa, kerana taraf penasihat itu setara dengan menteri. Maksudnya segala apa kemudahan dan keistimewaan yang diterima oleh anggota kabinet, hal yang sama juga dinikmati penasihat berkenaan.

Untuk renungan bersama, wajar kita fikirkan: atas setiap kemudahan dan kelebihan penasihat bertaraf menteri itu, berapa banyak nasib doktor kontrak yang boleh dibela di akar umbi?

Kerana itu jangan berasa pelik apabila ada sebahagian rakyat yang bangkit bersuara melalui jalur yang dijamin oleh demokrasi. Ketika krisis semakin membimbangkan dan suara biasa rakyat tidak diendahkan, apa lagi pilihan selain melaungkan rasa hati?

Dan apa yang lebih puitis selain bangun dan tegar menentang kemunafikan?

Jika rakyat hanya pasrah menerima nasib, kita tidak akan pernah tahu kesempatan apa yang akan muncul di hadapan nanti.

Seorang aktivis mahasiswa dulu-dulu, Soe Hok Gie, pernah meninggalkan pesan kepada politikus yang kononnya berjiwa rakyat itu:

“Saya bermimpi tentang sebuah dunia di mana tokoh agama, buruh dan pemuda bangkit dan berkata: Stop semua kemunafikan! Stop semua pembunuhan atas nama apa pun! Tak ada rasa benci pada siapa pun, agama apa pun, dan bangsa apa pun. Melupakan perang dan kebencian, dan hanya sibuk untuk membangunkan dunia yang lebih baik.” 


SITI HAJAR HUSNA CHE HASSIN ialah graduan komunikasi massa dari dan kewartawanan UiTM Shah Alam sedang mengimpikan Malaysia yang lebih baik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.