Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

IGP: Tindakan tegas terhadap pihak sertai demo 21 Ogos ini

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil mahu menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan pada 21 Ogos ini.

Acryl berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai rancangan berkenaan dan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggung jawab.

"Perancangan aktiviti sedemikian adalah tidak bertanggungjawab kerana melanggar operasi standard pelan pemulihan negara serta membelakangkan keselamatan kesihatan dalam senario semasa penularan wabak Covid-19.

"PDRM meminta orang ramai untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang serta SOP yang sedang berkuat kuasa.

"Demi keselamatan kesihatan umum, PDRM tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan dan akan mengambil tindakan tegas dalam perkara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, penganjur gerakan #Lawan hari ini menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan kerana didakwa gagal mentadbir negara atau berdepan satu lagi protes jalanan.

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berkata mereka sedang merancang untuk melakukan protes yang “lebih besar” dalam masa dua minggu jika keadaan masih tidak berubah.

SSR pada 31 Julai lalu mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur bagi mendesak perdana menteri meletakkan jawatan.

Susulan daripada itu, polis menjalankan soal siasat terhadap pihak penganjur dan juga peserta protes tersebut.