Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pesakit Covid-19 meninggal dalam bilik kuarantin kendiri

Seorang lelaki yang disahkan dijangkiti Covid-19 meninggal dunia semasa melakukan kuarantin kendiri di rumahnya di Taman Indah Jaya, Petaling Jaya malam tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis keluarga terbabit memberitahu lelaki berkenaan sebelum itu mengalami kesukaran bernafas dan meracau di dalam biliknya.

Lelaki terbabit, katanya, kemudian tidak sedarkan diri dan disyaki menghembus nafas terakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Pun begitu keluarga lelaki terbabit pada awalnya mengangka dia - yang tidak sedarkan diri - hanya tertidur dan cuba mengejutkannya.

"Mangsa bersama dua lagi adiknya turut dijangkiti virus berkenaan dan menjalani kuarantin di kediaman atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Menurut Norazam lelaki yang meninggal dunia itu berusia 41 tahun dan disahkan dijangkiti Covid-19 selepas menjalani ujian calitan pada 29 Julai lalu.

Katanya sepasukan anggota bomba bergegas ke kediaman mangsa untuk mengeluarkan mayat berkenaan selepas menerima panggilan pada jam 9.26 malam tadi.

"Anggota bomba lengkap berpakaian pakaian pelindung diri (PPE) membantu membawa turun mayat yang berada dalam bilik di tingkat satu rumah teres dua tingkat itu.

"Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Semalam KKM mendedahkan bahawa 80 peratus daripada kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) akibat Covid-19 menunjukkan mangsa tidak pernah didiagnos dengan penyakit tersebut. 

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Kheong berkata mereka itu sama ada tidak mempunyai akses untuk melakukan diagnosis atau tidak pernah tampil untuk membuat ujian.

Chong berkata daripada 1,000 kematian dilaporkan setiap minggu, 80 hingga 100 adalah kes BID.