Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NGO bimbang tiada kestabilan politik jika parlimen tak bersidang segera

Menunggu sidang parlimen pada September depan untuk menguji sokongan majoriti Perdana Menteri di Dewan Rakyat hanya akan "menimbulkan ketidakstabilan politik" dan menjejaskan usaha kerajaan menangani krisis kesihatan awam wabak Covid-19.

Kebimbangan ini disuarakan 22 NGO dan pertubuhan masyarakat yang mendesak parlimen bersidang segera untuk menentukan keabsahan kerajaan sekarang.

"Kelewatan mengadakan sidang Dewan Rakyat dikhuatiri akan mengheret negara kepada situasi yang lebih meruncing, khususnya yang melibatkan nyawa, kesihatan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

"Kelewatan bersidang juga bakal melahirkan situasi politik yang tidak sihat termasuklah kejadian lompat parti seperti yang biasa berlaku di negara ini.

"Situasi sebegini hendaklah dielakkan kerana ia mengalihkan perhatian pemimpin negara daripada menangani krisis-krisis yang sedang melanda," katanya pada satu kenyataan.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Pertubuhan Ikram Malaysia, Abim, Bersih, Persatuan Patriot Kebangsaan dan Gabungan Bertindak Malaysia antara yang menandatangani kenyataan bersama itu.

Sebelum ini, Muhyiddin Yassin berkata dia akan mengadakan undian usul undi percaya perdana menteri di Dewan Rakyat bulan depan setelah beberapa ahli parlimen Umno menarik sokongannya kepadanya.

Ismail Sabri berkata 31 daripada 42 ahli parlimen BN masih menyokong Muhyiddin.

Bagaimanapun, dua ahli parlimen BN yang termasuk dalam senarai tersebut kemudian mempertikaikan dakwaan tersebut, menjadikan mereka paling banyak 29 anggota Parlimen BN.

Ditambah dengan 73 anggota parlimen bukan BN dalam kerajaan Perikatan Nasional, Muhyiddin dianggarkan mendapat sokongan 102 MP, kekurangan 111 MP yang dia perlukan untuk sokongan majoriti.

Namun, ini dapat berubah jika berlaku perubahan sokongan lebih lanjut dalam beberapa minggu mendatang.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan 22 pertubuhan masyarakat sivil itu menggesa menggesa agar semua pihak khususnya pemimpin parti politik serta penjawat awam supaya meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan.

"Keutamaan hendaklah diberikan untuk menangani pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang membebankan rakyat sehingga menjejaskan kesejahteraan institusi keluarga dan menimbulkan pelbagai masalah psikologi dan sosial.

"...pemimpin-pemimpin politik dan ahli-ahli parlimen merentasi parti politik (juga perlu) mengetepikan perbezaan politik dan bersama-sama berganding bahu untuk menangani krisis-krisis yang melanda," kata mereka dalam kenyataan bersama itu.