Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Keluarga Ain mahu saman balas guru RM5 juta

Bapa dan pelajar yang mendakwa seorang guru pendidikan Jasmani membuat jenaka mengenai rogol akan mengemukakan saman balas terhadap guru lelaki berkenaan.

Peguam mereka, Sankara Nair berkata, anak guamnya akan mengemukakan saman itu dengan surat tuntutan saman akan diserahkan pada Isnin depan.

Terdahulu Ain Husniza Saiful Nizam, 17 dan bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh petang tadi untuk memberi keterangan berkaitan laporan polis yang dibuat guru terbabit.

Bercakap kepada wartawan di luar IPD berkenaan, Ain berkata polis melayaninya dengan baik dan bersikap profesional ketika siasatan dilakukan.

"Polis sangat baik, mereka profesional. Saya dan ayah akan beri kerjasama dalam siasatan. Saya sangat berharap dapat melihat keputusan kes ini," katanya.

Ain berkata, dia hanya mahu menjadikan sekolah sebagai kawasan yang selamat dan sama sekali tidak pernah berniat untuk menghina mana-mana pihak.

"Saya tidak bermaksud menghina mana-mana pihak, memfitnah mana-mana pihak, saya hanya mahu sekolah-sekolah selamat.

"Ini adalah hak kami sebagai pelajar agar selamat di sekolah dan itulah yang saya perjuangkan sekarang," katanya dalam rakaman kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi, Sankara mengesahkan Ain disoal selama kira-kira 30 minit di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berhubung video TikToknya.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan adalah berkakitan tuduhan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan

Sankara berkata, laporan polis terhadap Ain dibuat tiga bulan lalu dan anak guamnya telah menerima surat tuntuan saman daripada guru berkenaan yang antara lain menuntut permohonan maaf dan pampasan wang berjumlah RM1 juta.

Mengulas lanjut, Sankara berkata dia akan menasihati anak guamnya mengenai tindakan selanjutnya selepas polis mengesahkan timbalan pendakwa raya tidak akan mengambil tindakan lanjut terhadap guru terbabit.

Pada 24 April lalu Ain Husniza memuat naik video melalui aplikasi TikTok berkenaan tindakan seorang guru lelaki yang didakwa melakukan jenaka mengenai rogol semasa subjek pendidikan jasmani dan kesihatan.

Ia kemudian mencetuskan polemik dan kemarahan pelbagai pihak di media sosial.

Sejak itu Ain Husniza mendapat sokongan ramai, namun pada masa sama berdepan kritikan serta ancaman, termasuk daripada rakan sekelasnya yang kemudian memohon maaf.

[Baca berita penuh]