Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pekerja dakwa hidap kanser akibat kimia di kilang, Top Glove nafi kaitan

Seorang pekerja warga Bangladesh yang didiagnos mengidap kanser perut tahap empat menuntut pampasan daripada Top Glove Corporation Bhd, dengan mendakwa penyakit itu akibat terdedah dengan bahan kimia di kilang syarikat itu.

Pengeluar sarung tangan getah itu bagaimanapun berkata, seorang pengamal perubatan yang memeriksanya memaklumkan penyakit tersebut "berkaitan makanan" dan syarikat itu telah memberikan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada pekerja tersebut.

Khurshid Miah, yang kembali ke Dhaka pada 22 Julai lalu setelah bekerja dengan Top Glove sejak 15 September 2017, memberitahu laman berita Bangladesh, Business Insider Bangladesh yang dia percaya penyakit itu akibat terdedah dengan bahan kimia yang digunakan untuk memproses getah.

"Saya perlu mengendalikan bahan kimia untuk proses getah. Selama beberapa bulan saya alami sakit perut yang teruk dan telah memaklumkan kebimbangan kepada mereka. Doktor syarikat beri saya ubat pedih hulu hati selepas periksa saya," katanya seperti dipetik.

Katanya lagi, dia mendapatkan rawatan selepas sakit itu tidak hilang tetapi tidak dapat dirawat di hospital, dikatakan kerana protokol kesihatan Covid-19.

Berikutan keadaannya yang kritikal, doktor di Malaysia menasihatinya untuk menjalani pembedahan, tetapi Khurshid berkata dia membuat keputusan untuk kembali ke Bangladesh atas kehendak keluarga.

"Kini saya merayu kepada syarikat saya untuk berikan pampasan atas dasar kesihatan dan keselamatan, agar saya dapat teruskan rawatan Bangladesh," katanya lagi.

Anaknya, Reshudal Alam juga memberitahu laman berita itu, doktor memberitahu keluarga yang peluang untuk bapanya sembuh adalah tipis kerana kanser telah merebak ke buah pinggangnya.

Top Glove: Pekerja terima penjagaan, penyakit tiada kaitan dengan kerja

Bagaimanapun seorang pengarah dan ketua kawalan kewangan Top Glove, Melissa Cheoh memberitahu aktivis buruh Andy Hall yang seorang pengamal perubatan di Hospital Shah Alam yang memeriksa Khurshid berkata penyakit itu tiada kaitan dengan kerja.

"Dimaklumkan yang sebarang penyakit yang disyaki akibat pendedahan di tempat kerja akan dimaklumkan oleh pengamal undang-undang selaras dengan peraturan di Malaysia.

"Untuk Kurshid Miah, doktor yang merawat tidak mengesahkan penyakitnya adalah kerana kerja atau tempat kerja," kata Cheoh dalam emel bertarikh 1 Ogos yang dilihat Malaysiakini.

Hall menghubungi Top Glove berhubung rayuan pampasan oleh Khurshid dan menghantar salinan perhubungannya ke sejumlah pihak, termasuk agensi kerajaan luar yang memantau pembekal mereka dalam aspek hak buruh.

Dia juga menyangkal kenyataan Top Glove yang penyakit tersebut tiada kaitan dengan keadaan di kilang, dengan memetik kajian saintif berkenaan kaitan kanser perut dengan pendedahan terhadap getah.

Dalam emel bertarikh 14 Julai, Hall memberitahu Cheoh dan sejumlah pengurus Top Glove yang Khurshid jatuh sakit sejak 30 hari sebelumnya di hostel syarikat dan mengadu sakit dada sebanyak tiga kali di klinik syarikat.

Hall berkata, pekerja itu akhirnya dirujuk ke Hospital Shah Alam tetapi selama dua malam gagal ditempatkan di wad, kemungkinan kerana kesesakan di hospital kerajaan.

Dalam emel balas dua hari kemudian, Cheoh berkata pekerja itu dimasukkan ke Hospital Shah Alam pada 5 Julai dan keluar dengan diberi sijil cuti sakit pada 8 Julai hingga 3 Ogos. Dia juga dijadual untuk membuat imbasan CT pada 27 Julai, katanya lagi.

"Surat doktor berkata keadaan Kurshid Miah disyaki berkaitan dengan makanan.

"Berdasarkan laporan yang kami terima daripada Hospital Shah Alam, tiada tanda yang penyakit dialami Kurshid Miah adalah kerana penyakit pekerjaan.

"Oleh kerana Kurshid mahu pulang ke kampung halaman untuk bersama keluarga, dan keluarganya juga mahu dia pulang untuk penjagaan dan rawatan, syarikat akan memberi bantuan tunai sebanyak RM15,000," katanya.

Ketika dihubungi oleh Business Insider Bangladesh, timbalan pengurus besar Top Glove Michelle Voon berkata: Top Glove ingin memaklumkan yang sumbangan syarikat terhadap Kurshid Miah berjumlah RM15,000 telah diterima isterinya, seperti yang dimintanya, di Bangladesh pada Selasa, 3 Ogos 2021, pukul 7.30 malam waktu Malaysia."

Malaysiakini telah menghubungi Top Glove untuk mendapatkan respons berkenaan perkara ini.

[Baca berita asal]