Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Virus Covid lawan virus kekeliruan

Jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 seluruh Malaysia telah melepasi angka satu juta orang. Jika kita melihat angka ini dari kaca mata kuantiti, mungkin kita merasa kecewa dan putus asa. Seolah-oleh Malaysia akan kiamat pada hari esok, sebelum subuh.

Maka mulalah kita nak menyalahkan semua pihak, dari kerajaan hinggalah marahkan Pak Kassim si penjual durian dari Raub yang menjangkiti pembeli durian.

Saya tidak mengatakan satu juta ini sedikit atau ‘enteng’. Tetapi saya cuba bersikap waras dan cuba untuk melihat angka ini jauh dari prasangka ‘kuantiti’ semata.

Bila kita melihat angka ini dari perspektif kuantiti orang dijangkiti sahaja, maka pandangan kita senget. Pandangan senget ini boleh menyusahkan diri kita kembali. Yang salah, bukan angka tetapi perspektif.

Sebagai contoh, adakah dengan angka satu juta ini, bermakna satu juta orang sedang nazak di katil-katil hospital? Jawapannya tidak. Kita sedang memahami dan menilai situasi semasa berasaskan fakta yang ada di lapangan.

Tuan-tuan yang baik hati. Jangan salah faham.

Angka ini pada umumnya memang bertujuan untuk membantu kita mengukur atau menilai sesuatu keadaan, namun seperti yang saya katakan, jika kita tidak meletakkan nilai dan ukuran itu pada perspektif yang betul, kita akan silap dan meracau di media-media sosial.

Kita telah sedia maklum bahawa usaha menghadapi pandemik covid-19 ini sangat kompleks. Dunia hari ini memang cukup kompleks sifatnya. Politik Malaysia hari ini juga kompleks. Begitu juga dengan isu memerangi keganasan global, ia juga amat kompleks keadaannya. Semua ini tidak boleh diurus semudah ‘menganjing’ orang di media sosial.

Benar, vaksin adalah salah satu jalan keluar dari peperangan menentang Covid-19. Namun, ramai yang masih salah faham dan menganggap, jika vaksin adalah satu-satunya jalan keluar, maka semua yang telah divaksin, akan kebal dan bebas dari jangkitan covid-19.

Tetapi apabila berlaku kes-kes jangkitan kepada mereka yang telah divaksin, maka kita mula mempersoalkan keberkesanan sesuatu vaksin itu. Persoalan-persoalan ini membara di media-media sosial, ia kemudian bertukar menjadi sentimen kemarahan dan akhirnya, menjadi isu politik yang tak sudah sudah. Ini masalah perspektif.

Penyelesaian kepada sesuatu kerumitan itu memerlukan satu proses dan proses itu pula selalunya panjang dan berlapis-lapis. Namun, sikap kita yang lebih senang untuk menolak memahami proses ini. Inilah sikap sebenar kita, kita sendiri yang mengambil mudah terhadap proses itu.

Seperti yang telah diterangkan oleh ramai pakar bahawa vaksin-vaksin ini fungsinya adalah untuk meningkatkan antibodi seseorang terhadap virus didalam tubuh. Yang bermaksud, kita tetap akan menerima jangkitan pada bila-bila masa, namun badan kita mampu mengawal kesan jangkitan daripada virus itu kerana kesan dari kekuatan antibodi yang sudah terbina dari vaksin itu.

Kebal di sini bermaksud ‘tidak mudarat’, bukan kebal bermaksud tidak dijangkiti.

Kembali kepada masalah persepktif mengenai angka satu juta ini.

Adakah dengan terus melapor setiap hari jumlah mereka yang dijangkiti ini masih praktikal dan relevan?

Bagi saya, praktik ini sudah tidak relevan lagi kerana ia lebih banyak mendatangkan persoalan dan haru biru pada keyakinan masyarakat terhadap proses pemulihan yang sedang berjalan dan berlapis-lapis ini.

Laporan hari ini seharusnya sudah masuk fasa baharu iaitu menfokus kepada laporan kes-kes jangkitan kategori empat dan lima, iaitu kes-kes kritikal dan jumlah kematian dari kategori tersebut. Kerana kita tahu bahawa jika satu-satu laporan itu merakam angka 10,000, bukan 10,000 orang itu dikategori empat atau lima.

Sebaliknya dari jumlah 10,000 yang dijangkiti setiap hari ini, peratusan yang mendapat kesan jangkitan ringan (mild) ini sangat tinggi, malah yang tiada simpton juga tinggi. Tetapi fakta ini tidak sampai kepada rakyat kerana laporan harian ini meletakkan persepktif KKM hanya menumpukan pada jumlah (kuantiti) mereka yang dijangkiti.

Jika kita masih terus dengan perspektif ini, ia akan melelahkan diri kita sendiri malah menjauhkan kita dari realiti dan harapan. Sedangkan realiti sekarang telah berubah. Keutamaan juga telah berubah.

Apa keutamaan kita ketika ini? Keutamaan kita ialah memberi vaksin seramai dan sesegera mungkin, dan menumpukan rawatan kepada kumpulan yang kritikal.

Menurut ramai pakar virologi, dalam dan luar negara, pandemik ini tidak lama lagi akan bertukar menjadi endemik. Virus yang telah bermutasi seperti varian delta ini sudah pun duduk dalam komuniti. Bermakna, virus ini akan kekal hidup bersama dengan kita buat selama-lamanya. Ia sama dengan denggi, influenza, sama dengan cacar.

Maka, realitinya telah berubah. Untuk berubah kita perlu mengubah perspektif kita. Berubah dari melawan virus covid-19 kepada melawan virus kekeliruan.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.