Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Adakah abang saya meninggal kerana dos kedua vaksin?'

Tan Yee Tom, 58, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lantai bilik tidurnya di Kepong, Kuala Lumpur, lebih satu jam setelah menerima dos kedua vaksin Pfizer pada 1 Ogos lalu.

Sehubungan dengan itu keluarganya mahu kerajaan memberi penjelasan apakah kematian pesara itu ada kaitan dengan vaksin.

Bercakap kepada media di pejabat DAP Kepong hari ini, adik si mati, Yee Ching berkata, abangnya menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) sebelum waktu tengah hari dan menjalani tempoh pemerhatian selama 30 minit.

"Kami temui dia terbaring tidak sedarkan diri di lantai bilik tidurnya dan panggil ambulans kira-kira jam 2 petang tapi operator nasihatkan kami untuk hantar ke hospital.

"Kami panggil ambulans sekali lagi pada pukul 2.55 petang dan tiba kira-kira 20 minit kemudian. Yee Tom kemudian dibawa ke Hospital Selayang, ”tambahnya.

Yee Ching berkata, abangnya menghidap strok sejak lapan tahun lalu dan disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU).

"Yee Tom tidak memiliki kesukaran besar untuk bergerak dan masih boleh buat kopi dan teh sendiri.

"Selepas dos pertama, dia baik-baik saja," kata Yee Ching.

Yee Ching berkata, doktor memberitahu kematian abangnya disebabkan pendarahan otak dan mempunyai peluang kecil untuk hidup walaupun melakukan pembedahan.

Apabila keluarganya meminta Yee Tom dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur, doktor menjawab keadaannya adalah sama di hospital berkenaan dan tambahan pula Unit Rawatan Rapi (ICU) penuh dengan pesakit Covid-19.

Yee Tom disahkan meninggal dunia pada pukul 7.45 malam.

Adiknya berkata sijil kematian yang dikeluarkan pada keesokan harinya menyatakan Yee Tom meninggal dunia kerana "'hypertensive emergency' dengan pendarahan intrakranial (dalam otak) yang teruk".

"Kami ingin Kementerian Kesihatan memberikan jawapan jika vaksinasi ada kaitan dengan kematiannya," tambahnya.

Keluarga Yee Tom juga mengatakan mereka tidak tahu bahawa mereka boleh meminta bedah siasat dilakukan.

Tanpa diberikan sebarang panduan, keluarga berkenaan akhirnya menguruskan pengebumian Tan dua hari lalu.

"Kami tidak diberi panduan, tidak ada bedah siasat dan tidak ada respons," kata Yee Ching.

Sementara itu, ketua biro pengaduan awam DAP Kuala Lumpur, Yew Jia Haur menggesa kerajaan lebih telus berhubung kematian yang disyaki ada kaitan dengan vaksinasi Covid-19.

"Kami tidak menghalang orang mendapatkan vaksin, tapi saya fikir kerajaan harus lebih telus dalam menangani insiden seperti itu," katanya.

Yew menambah pejabatnya akan membantu keluarga si mati untuk meminta pampasan daripada agensi kerajaan yang berkaitan.