Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Muhyiddin bersedia hadapi usul undi percaya bulan depan

Muhyiddin Yassin berkata usul undi percaya kepada perdana menteri adalah perkara biasa dan beliau tidak takut atau bimbang untuk menghadapinya semasa sidang parlimen bulan hadapan.

Usul undi percaya itu akan dibawa ke Dewan Rakyat bagi membuktikan perdana menteri masih memiliki sokongan majoriti ahli parlimen.

"Betul, usul undi percaya kepada perdana menteri itu biasa dibuat untuk parlimen tetapi yang harus difikirkan ialah soal situasi dan keadaan semasa.

"Apakah negara boleh hadapi masalah sebegini dengan apa-apa rombakan pertukaran dan suasana politik yang nanti kalut?

"Saya tidak kata saya ramal begitu... yang mungkin boleh terjejas ialah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan langkah-langkah saya sebut awal tadi, vaksinasi dan sebagainya," katanya kepada pemberita di pejabat pentadbiran penghulu mukim Sungai Raya, di Muar hari ini.

Justeru, Muhyiddin berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan pertimbangan ahli parlimen mengenai perkara yang sewajarnya mereka lakukan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan sokongan majoriti Muhyiddin dan sidang parlimen yang perlu dibuat September nanti.

Muhyiddin berkata keputusan untuk mengemukakan undi percaya kepada perdana menteri di parlimen telahpun dipersetujui dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Saya nak nyatakan bahawa saya sudah menghadap tuanku yang saya dah maklum pada negara beberapa hari lepas bagi membincangkan soal itu dan ia berlangsung dalam suasana baik dan harmoni hampir sejam.

"Kami berbincang banyak perkara, antaranya isu soal sama ada saya memiliki jumlah bilangan sokongan yang mencukupi. Saya yakin sehingga hari ini (ada majoriti) walaupun ada pengumuman-pengumuman dibuat pihak tertentu yang kononnya tak menyokong saya.

"Mungkin depan macam itu tapi belakang (mereka) mungkin tak tahu. Ini masalah politik sebab tu Seri Paduka Baginda pun berkenan (untuk bawa ke parlimen). Jadi nak selesaikan perkara itu kita bawa ke parlimen," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan sumbangan bakul makanan dan makanan segar kepada penghulu di kawasan Parlimen Pagoh untuk diagihkan kepada masyarakat masing-masing.

- Bernama