Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib nafi minta Muhyiddin tukar hakim dalam kes SRC

Bekas perdana menteri, Najib Razak menafikan dakwaan cuba mempengaruhi Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk campur tangan dalam perbicaraan kes rasuah SRC International di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Menjawab kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, Najib dalam catatan di Facebook berkata, dia hanya berjumpa sekali sahaja dengan Muhyiddin sejak penubuhan kerajaan Perikatan Nasional.

Katanya pertemuan itu berlangsung pada pada Disember lalu di mana dia meminta penjelasan mengenai isu pengeluaran daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Najib berkata, pertemuan itu berlaku tiga bulan setelah dia dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi, sedangkan tiga hakim yang membicarakan rayuannya hanya dilantik pada bulan April tahun ini.

Dia juga berkata Perhimpunan Agung Umno yang diadakan pada bulan Mac tahun ini diadakan sebulan sebelum rayuan itu didengar dan pada masa itu telah memutuskan untuk menarik sokongan daripada PN.

"Jadi, macam mana pula saya minta tukar hakim sedangkan hakim belum dilantik dan Umno sudah putuskan untuk tarik diri dari PPBM," kata Najib yang menyifatkan Wan Saiful dan Muhyiddin sebagai "pembohong besar".

Ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Najib berkata dia bertanya kepada Muhyiddin pada bulan Disember sekiranya ahli parlimen Pagoh itu tahu bahawa hakim perbicaraan kes SRC diganti dengan hakim yang baru dilantik setahun selepas perbicaraan kes bermula.

"Bermakna seorang hakim yang baru dilantik ke mahkamah sivil tanpa sebarang pengalaman atau kes jenayah, tiba-tiba mengganti hakim sedia ada untuk kes mahkamah paling high profile masa itu (semasa era kerajaan PH)," katanya.

Najib juga berkata dia membuat hantaran beberapa kali di Facebook dan perkara itu juga merupakan antara isu yang dihujah oleh peguamnya.

Najib berkata demikian bagi mengulas hantaran Wan Saiful yang memetik ucapan Muhyiddin bahawa kerajaan PN kekal utuh di tengah-tengah spekulasi bahawa ia telah hilang sokongan majoriti.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Pekan itu mencabar agar laporan polis dibuat bagi mendakwa dia telah meminta Muhyiddin untuk menukar hakim bagi kes  perbicaraannya.

"Nyatakan bila saya pernah minta Muhyiddin sedangkan sejak awal tahun saya dan Umno tak lagi berhasrat bersama kerajaan yang berkali-kali gagal," kata Najib.

Muhyiddin semalam mendakwa terdapat pihak tertentu yang kurang senang dengan ketegasannya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

"Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah," kata Muhyiddin tanpa menyebutkan nama.

Najib antara 11 ahli parlimen Umno yang pada Selasa lalu mengadakan sidang media bagi menzahirkan penolakan parti itu terhadap Muhyiddin.

Selain Najib, 11 ahli parlimen itu termasuk tiga lagi yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.