Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

30,000 dos vaksin Cansino untuk penduduk pulau di Semporna

Sebanyak 30,000 dos vaksin Covid-19 jenis dos tunggal CanSino dijadual tiba di Semporna minggu depan bagi memudahkan proses vaksinasi di kawasan pulau, kata Pegawai Kesihatan Daerah Dr Shameer Khan Sulaiman.

Dr Shameer berkata vaksinasi penduduk menggunakan vaksin dua dos seperti Pfizer dan Sinovac sebelum ini dibelenggu masalah logistik dan perhubungan kerana ada sesetengah pulau seperti Pulau Denawan memerlukan dua jam perjalanan menggunakan bot untuk melaksanakan vaksinasi itu.

Bagaimanapun katanya, penggunaan vaksin dos tunggal CanSino dapat memudahkan kerja petugas dan penduduk pulau kerana program vaksinasi hanya perlu dilaksanakan sekali di tempat yang sama.

"Kebajikan petugas kesihatan terjaga (kerana tidak perlu lakukan tugas vaksinasi dua kali), selepas proses vaksinasi itu juga mereka akan sambung kerja lagi untuk daftar data vaksinasi yang diperoleh," katanya kepada Bernama.

Dr Shameer berkata vaksin dos tunggal itu hanya digunakan untuk penduduk di pulau manakala penduduk di tanah besar Semporna tetap menggunakan vaksin dua dos dan pihaknya akan memohon tambahan vaksin CanSino jika ada keperluan.

Dalam pada itu, Dr Shameer berkata lebih 8,000 daripada 16,000 penduduk yang layak divaksin di kawasan DUN Sulabayan, meliputi 29 pulau berpenduduk di sana, sudah menerima vaksin dua dos setakat semalam.

Dr Shameer juga berkata pihaknya akan memulakan percubaan program vaksinasi Covid-19 secara jumpa terus atau walk-in di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Semporna untuk 1,000 individu terawal, esok (Khamis).

"Penduduk boleh mengambil nombor giliran di PPV dengan 1,000 nombor giliran disediakan, 500 individu akan divaksin pada sebelah pagi dan bakinya pada petang, bagi yang tidak sempat mendapatkan nombor giliran boleh datang pada keesokannya.

"Vaksinasi secara walk-in terbuka kepada penduduk daerah ini yang berusia 18 tahun dan ke atas. Ini antara usaha untuk mempercepatkan proses vaksinasi di Semporna," katanya dan menambah 100 nombor giliran khas disediakan untuk warga emas.

Setakat ini katanya, kira-kira 30,000 penduduk Semporna sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 dan semua penduduk termasuk warga asing perlu dilibatkan dalam program vaksinasi ke arah mencapai imuniti kelompok.

Dia turut menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kerana membantu dalam melancarkan program vaksinasi di Semporna.

-Bernama