Komen Zuraida tentang Agong: NGO gesa polis siasat
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa siasatan dibuat terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berhubung kenyataannya berkaitan teguran istana kepada kerajaan.
“Patriot menuntut agar pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat Zuraida.
"Sebagai pembela kedaulatan negara kita, kami para veteran Patriot dan anggota awam membuat bantahan serius terhadap ahli politik seperti Zuraida yang secara terbuka melibatkan raja-raja dan dalam hal ini Yang di-Pertuan Agong menjadi pertikaian yang dipersoalkan," kata presidennya Arshad Raji.
Terdahulu Zuraida menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara berhubung cadangan pembatalan ordinan darurat pada 29 Julai lalu adalah tidak "tidak wajar" (not proper).
Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong - yang perlu menurut nasihat kabinet dalam kebanyakan perkara - boleh mendapatkan penjelasan kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.
Zuraida yang juga bekas naib presiden PKR sebelum meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu berkata demikian dalam rancangan bual bicara bahasa Inggeris, Consider This di Astro Awani malam Isnin.
Menjawab soalan pengacara berkenaan pembatalan ordinan darurat, Zuraida berkata sebagai anggota dalam kabinet, dia yakin ia dibuat dengan proses yang betul.
Mengulas kenyataan Zuraida itu, Arshad berkata gesaan menteri Perikatan Nasional (PN) itu jelas tidak menghormati istana.
“Patriot tidak dan tidak akan pernah bertolak ansur dengan percubaan ahli politik - terutama mereka yang berada dalam kerajaan untuk menjatuhkan institusi raja berperlembagaan kita. Ini khianat. Ia belum pernah terjadi sebelum ini. Ia berbahaya dan serangan terhadap kedaulatan kita mesti dihentikan sekarang.
"Sebagai pembela negara tercinta, kami menuntut tindakan tegas oleh pihak berkuasa undang-undang dan sesuai dengan tradisi menghormati institusi diraja.
"Dengan kenyataan secara terbuka bahawa Agong perlu mendapatkan penjelasan daripada kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah, menteri tidak hanya memalukan institusi Diraja tetapi juga membuat persepsi di mata masyarakat - warganegara dan orang asing, bahawa apa yang dilakukan raja kita adalah tidak betul, ” kata Arshad.
Pada 29 Julai lalu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan yang tegas kepada eksekutif. Antara lain, ia berkata Agong "sangat dukacita" dengan Takiyuddin yang berkata ordinan darurat telah dibatalkan di saat perkenan belum diberikan.
Agong sebaliknya bertitah yang ordinan tersebut perlu dibahas dan dirungkai di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi memenuhi Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
Jika perbahasan dibuat, ia akan membawa kepada undian untuk menentukan pembatalan ordinan tersebut dan berisiko mendedahkan tahap sokongan yang dimiliki Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai