Zahidi sanggah Zahid: Cuba ajak sokong Umno tapi tak sokong presiden
Gesaan yang dibuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar ahli parlimen parti itu menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin namun kekal mendukung Perikatan Nasional (PN) adalah tidak praktikal, kata seorang timbalan menteri.
Zahidi Zainul Abidin berkata, untuk membuktikan keberkesanan dasar itu, ia boleh cuba dipraktikkan dalam Umno terlebih dahulu.
"Presiden Umno (Ahmad Zahid) boleh cuba praktikkan dalam Umno - (minta orang lain) sokong Umno tapi jangan sokong presiden Umno.
"Kita boleh cuba, kalau berjaya dalam Umno baru kita cadangkan kepada parti (pihak) lain," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini.
Umno kini berdepan dengan kemelut dalaman apabila wujud sekurang-kurangnya dua kumpulan besar yang saling bertentangan mengenai cara berhubungan dengan kerajaan Perikatan Nasional.
Ahmad Zahid pada 7 Julai lalu mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno agar yang mahu semua ahli parlimen mereka menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.
Langkah itu - kalau dilaksanakan - balak menyaksikan Muhyiddin kehilangan sokongan majoriti di parlimen, sekali gus menghilangkan kelayakannya menjadi perdana menteri.
Bagaimanapun setakat ini tiada mana-mana menteri yang menuruti arahan tersebut. Sebaliknya mereka membuat kenyataan bersama untuk terus menyokong presiden Bersatu itu sebagai perdana menteri.
Kalau boleh presiden sokonglah
Pada 29 Julai lalu Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan perlunya ahli parlimen Umno melaksanakan keputusan MT mereka untuk membatalkan sokongan mereka kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Zahidi berkata saranan dibuat Ahmad Zahid itu samalah seperti menggesa ahli parlimen tidak menyokong Muhyiddin namun kekal bersama Bersatu.
"Atau kita (Umno) bersama dengan PAS tapi tak sokong (presiden parti itu) Abdul Hadi Awang... tak praktikal," katanya yang juga timbalan menteri komunikasi dan multimedia.
Tambah anggota MT Umno itu lagi keputusan perhimpunan agung mereka pada hujung Mac lalu adalah untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu semasa menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, bukannya sekarang.
Untuk rekod MT Umno akan bermesyuarat sekali lagi pada hari ini. Menurut kenyataan pimpinan tertinggi parti, ia merupakan mesyuarat tergempar ekoran kemelut yang melanda kerajaan berhubung isu pembatalan ordinan darurat yang tidak diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu Zahidi berkata seramai 40 ahli parlimen BN sudah menandatangani perakuan bersumpah (SD) untuk membuktikan sokongan mereka kepada Muhyiddin, sekali gus mengekalkan dukungan majoriti kepada ahli parlimen Pagoh itu.
Katanya hanya dua ahli parlimen yang terkecuali daripada SD berkenaan, iaitu Ahmad Zahid sendiri, serta Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
"Kami sedang berunding dengan dua lagi ahli parlimen untuk sokong, tapi Ku Li (Razaleigh) dah keluar, maka tak dapat dirundingkan.
"Kalau boleh, presiden Umno sokonglah," katanya.
Zahidi yang juga ahli parlimen Padang Besar berkata, tiga ahli parlimen yang meninggalkan PKR - termasuk Dr A Xavier Jayakumar (Kuala Langat) juga sudah menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.
"Ada tiga ahli parlimen dari PKR yang melompat - saya tak tahu siapa - tapi mengikut maklumat tiga (bekas) PKR termasuk Xavier dan sebagainya," kata Zahidi.
Selepas berlakunya Langkah Sheraton PKR turut kehilangan tiga lagi ahli parlimen yang meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas namun menyokong kerajaan iaitu Steven Choong (Tebrau), Larry Sng (Julau), dan Jugah Muyang (Lubok Antu).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai