Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kit Siang: Sekat ahli parlimen, bila nak siasat?

Anggota parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menuntut penjelasan bilakan siasatan akan dimulakan terhadap dakwaan sekatan pihak berkuasa terhadap wakil rakyat hadir ke parlimen semalam.

Katanya perkara itu merupakan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, berdasarkan Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Bilakah polis akan memulakan siasatan memandangkan laporan polis telah pun dibuat?” soalnya.

Lim Kit Siang 

Dua anggota parlimen - Akmal Nasir (Johor Bahru) dan P Prabakaran (Batu) - semalam membuat laporan polis berhubung penutupan parlimen dan tindakan menghalang anggota Dewan Rakyat memasuki bangunan parlimen.

Dalam laporan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, mereka mendakwa sekatan itu merupakan kesalahan berdasarkan peruntukan dalam Akta Majlis Parlimen dan tiga peruntukan dalam Kanun Keseksaan.

Peruntukan-peruntukan itu berkaitan tindakan menghalang anggota parlimen menjalankan kuasa parlimen, memudaratkan dan berniat memudaratkan demokrasi berparlimen serta menyekat anggota parlimen hadir ke parlimen.

Terdahulu, seramai 107 anggota parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak ke parlimen. Bagaimanapun mereka tidak dapat memasuki bangunan parlimen selepas disekat polis.

Parlimen sepatutnya bersidang semalam, antaranya bagi mendengar penjelasan kerajaan berkaitan pembatalan ordinan darurat, tetapi ditangguhkan atas alasan Covid-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim semalam berkata Polis tiada halangan untuk mana-mana anggota parlimen berkunjung ke ke bangunan itu sebaliknya menghalang mereka kerana ada perhimpunan yang tidak dibenarkan.