Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Mana SOP perhimpunan awam yang dijamin perlembagaan?

Hak untuk berhimpun adalah termasuk dalam salah satu kebebasan asasi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Ia diletakkan sebaris dengan hak untuk mengeluarkan pendapat dan hak untuk berpersatuan.

Hak untuk berhimpun itu juga terkandung dalam agama Islam yang mungkin tidak disedari oleh sebahagian penganutnya. Perhimpunan haji adalah kemuncak kepada hak untuk berhimpun yang disediakan Islam.

Selain itu pada setiap hari umat Islam berhimpun lima kali sehari di masjid, surat atau tempat yang seuampama itu untuk menunaikan solat. Solat sempena hari raya dan pelaksanaan ibadah korban juga dibuat dengan mengadakan perhimpunan.

Pada waktu ini prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan kerana adanya ancaman Covid-19 membataskan hak untuk berhimpun.

SOP itu dikuatkuasakan semenjak awal serangan Covid-19 dan tidak ada sebarang penambahbaikan walaupun Malaysia sudah hampir dua tahun berada dalam ancaman wabak berkenaan.

Hak asasi rakyat tidak boleh ditunda selama-lamanya.

Pemerhatian jurispruden di peringkat antarabangsa menunjukkan banyak kerajaan telah menggunakan alasan Covid-19 untuk menekan hak asasi rakyat termasuk mengekang hak berhimpun, hak untuk mengamalkan agama, hak untuk bergerak dan hak untuk bersuara.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) telah mengeluarkan 10 panduan kepada semua negara untuk memastikan hak rakyat ini tidak ditekan. Sepuluh perkara tersebut ialah:

i) Memastikan bahawa langkah undang-undang baru berkaitan Covid-19 menghormati hak asasi manusia

ii) Memastikan keadaan kecemasan kesihatan awam tidak dijadikan alasan untuk pelanggaran hak

iii) Demokrasi tidak boleh ditangguhkan selama-lamanya

iv) Memastikan penyertaan inklusif

v) Menjamin kebebasan berpersatuan dan berkumpul dalam talian

vi) Melindungi hak tempat kerja terhadap kebebasan berpersatuan dan berhimpun

vii) Kebebasan bersuara mesti dijamin

viii) Penyertaan masyarakat sivil dalam institusi pelbagai hala mesti dijamin

ix) Perpaduan antarabangsa diperlukan lebih dari sebelumnya

x) Implikasi Covif-19 pada masa depan dan menyahut seruan reformasi yang popular (respons negara terhadap krisis mengambil kira tuntutan rakyat sepenuhnya: struktur tadbir urus yang lebih demokratik, penghormatan terhadap hak asasi manusia dan persamaan, dan peningkatan sokongan dan perhatian untuk sumber tenaga yang lebih lestari).

Kerajaan Malaysia sekarang gagal untuk menyediakan SOP untuk perhimpunan awam walaupun musibah yang melanda berlanjutan selama dua tahun.

Perhimpunan anak muda berbaju hitam semalam membuka mata banyak pihak mengenai ketidakpatuhan kerajaan terhadap pelbagai aspek garis panduan yang sepatutnya dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.

Ada sebab yang wajar tunjuk rasa itu dibuat oleh anak muda memandangkan mereka adalah kumpulan masyarakat yang paling terkesan seperti kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan serta proses pendidikan yang terhalang.

Kerajaan sepatutnya mengambil positif terhadap tunjuk rasa anak muda berbaju hitam dengan mengemas kini SOP perhimpunan awam. 

Misalnya berkaitan tempat perhimpunan yang mestilah dibuat di tempat terbuka, mewujudkan mekanisme perhimpunan atas talian atau sebaliknya, dan memastikan penjarakan sosial yang diperlukan.

Ketiadaan SOP yang jelas akan menyebabkan kesukaran untuk penguatkuasaan undang-undang di pihak Polis Diraja Malaysia dan pentafsiran undang-undang oleh mahkamah.

Kerajaan boleh mengambil panduan dan menambah baik model yang digunakan di United Kingdom. Di negara itu kerajaannya membenarkan perhimpunan diadakan setelah pentaksiran risiko dan langkah-langkah kawalan pencegahan Covid-19 dilaksanakan.


ZULKARNAIN LUKMAN ialah ialah seorang peguam dan felo Akademi Nunji.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.