Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suhakam: Demo #Lawan aman, tiada kejadian tak diingini

Demonstrasi #Lawan di Kuala Lumpur semalam telah berlangsung secara aman dan tanpa kejadian yang tidak diingini, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), memetik hasil laporan tujuh pasukan pemerhati.

Suhakam menganggarkan penyertaan kira-kira 1,000 orang, sementara polis menganggarkan 400 peserta.

Sementara itu, pihak penganjur mendakwa kira-kira 2,000 orang hadir sepanjang 3km dari persimpangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menuju ke LRT Masjid Jamek di mana penyokong mula berkumpul sejak kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

"Suhakam mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam memastikan hak ini dilaksanakan secara bertanggungjawab oleh semua pihak, dan mengulangi seruannya agar semua pihak bekerjasama untuk memenuhi hak kepada perhimpunan secara aman dan dalam masa yang sama mematuhi SOP kesihatan awam semasa bagi mengawal pandemik Covid-19," kata Suhakam.

Suhakam berkata, pasukan pemerhati juga mendapati pihak berkuasa dilihat mempermudah protes melalui rundingan dengan pihak penganjur, walaupun menegaskan bahawa tidak ada perhimpunan yang dapat diadakan di Dataran Merdeka.

Penganjur protes Sekretariat Solidariti Rakyat semalam menyatakan kesal kerana mereka dihalang berkumpul di Dataran Merdeka seperti yang dirancang, dengan menyatakan bahawa ia adalah ruang yang jauh lebih besar untuk memudahkan jarak sosial yang selamat.

Tiga tuntutan utama dari tunjuk perasaan itu adalah meminta pengunduran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menggesa parlimen terus bersidang, dan moratorium pinjaman automatik untuk semua rakyat Malaysia.

Suhakam turut berkata bahawa perhimpunan aman adalah hak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Suhakam mendesak pihak berkuasa untuk menggugurkan semua siasatan dan tuduhan terhadap individu yang telah menggunakan hak mereka.

"Sebaliknya, Suhakam mengesyorkan agar pihak berkuasa menekankan pembangunan dan pengukuhan SOP bagi membolehkan perhimpunan awam dijalankan dengan mengurangkan risiko Covid-19," katanya.

Awal hari ini, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan bahawa polis telah mengenal pasti 29 individu sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap demonstrasi #Lawan.

Dia mengatakan individu yang mengambil bahagian akan disiasat di bawah Akta 342 dan Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Jangkitan Tempatan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 dan akta lain yang berkaitan.