Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Ribut tak jadi, nyior condong tegak kembali

KATA MP | Bidalan orang tua-tua, bila nyior condong, bukan sahaja kera, kura-kura pun suka meniti.

Sedikit polemik berlaku di parlimen pada 26 Julai baru-baru ini, sudah kita nampak bagaimana pihak-pihak tertentu, umpama ikan menyambar umpan, segera menangguk di air yang keruh.

Dengan ghairahnya mereka berdrama dan menampakkan niat sebenar mereka selama ini, iaitu mahu merampas kuasa.

Maka terselongkarlah nawaitu sebenar kenapa mereka terus memaksa mahu sidang parlimen diadakan seberapa segera, pada saat negara menghadapi penularan Covid-19 paling tinggi.

Saat di mana semua orang dikawal ketat pergerakannya di bawah PKP.

Namun apabila parlimen bersidang, mereka langsung tidak peduli, malah tidak pun berminat berbincang bagaimana isu Covid-19 diuruskan, dan bagaimana ekonomi patut dipulihkan.

Langsung tidak ada usaha ke arah itu. Yang mereka asak adalah soal politik dan menggugat kedudukan kerajaan.

Dalam tempoh seminggu sahaja, dari hari persiapan persidangan parlimen sehingga 30 Julai, sudah 70 kes disahkan positif di parlimen. Entah berapa ramai kontak rapat mereka ini? Entah berapa ramai lagi bakal positif Covid-19 beberapa hari lagi?

Berapa ramai yang telah pulang ke kawasan masing-masing di seluruh negara dengan membawa virus Covid-19 ini?

Mereka hanya peduli bagaimana kerajaan boleh dijatuhkan dan bagaimana mereka boleh merampas kuasa dan jawatan perdana menteri.

Sebenarnya, negara kita tidak pun menghadapi krisis, kerajaan kekal stabil, jauh sama sekali dari krisis perlembagaan.

Malah negara juga tidak menghadapi krisis kepercayaan. Pastinya setakat ini, tiada seorang pun boleh menyatakan dia mempunyai sokongan majoriti kecuali perdana menteri.

Pembangkang kelihatan begitu ghairah mahu mengheret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ke dalam game plan mereka. Mereka merasakan "ini kali lah".

Berkali-kali nama DYMM SPB YDPA digunakan dalam hujah mereka di parlimen, walaupun ia jelas tidak dibenarkan di bawah standing order parlimen.

Kita tahu perwatakan DYMM tuanku, sebagai seorang raja yang sangat arif dan berpengalaman, tuanku tidak begitu. Baginda tidak akan berpolitik atau berparti, jauh sama sekali mahu menyokong usaha mana-mana individu atau parti di luar kerajaan.

Apatah lagi parti-parti dan individu tertentu di mana baginda amat arif menilai track record dan latarbelakang mereka. Yang pasti baginda kekal sebagai raja memerintah seperti mana termaktub dalam perlembagaan.

Baginda sebagai seorang raja Melayu, dan payung yang menaungi kedudukan agama Islam, tidak akan melibatkan diri dengan sesuatu yang memudaratkan kuasa melayu dan kedudukan agama Islam negara ini, yang terbukti pernah terancam dan diancam pihak tertentu.

Sebenarnya kerajaan khususnya YAB Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sentiasa mempunyai hubungan yang baik, rapat dan akrab dengan DYMM SPB YDPA, hinggalah ke saat ini. 

Malahan, kerajaan dan YAB PM mahu menyempurnakan pandangan dan titah baginda jua, maka kerajaan membuat keputusan tidak menasihatkan perisytiharan proklamasi darurat yang baru, selepas tamatnya proklamasi darurat sekarang pada 1 Ogos, malah mengadakan sidang parlimen selari dengan pendirian DYMM SPB YDPA.

Tuduhan kerajaan derhaka

Begitu juga pembatalan semua ordinan yang dibuat semasa berkuatkuasanya proklamasi darurat, diputuskan untuk dibuat revocation seberapa segera, dengan menasihati YDPA memperkenankan pembatalan, sebelum seterusnya diwartakan. Semuanya atas memenuhi pandangan DYMM SPB YDPA.

Cuma tidak semena-mena telah berlaku polemik di parlimen, apabila ada pihak mentafsirkan kenyataan menteri bertanggungjawab hal undang-undang sebagai kononnya telah membatalkan ordinan tanpa perkenan YDPA.

Sedangkan, yang sebenarnya, menteri undang-undang (Takiyuddin Hassan) cuma ingin memaklumkan pendirian dan keputusan mesyuarat kabinet, tanpa memperincikan proses yang sedang berjalan, iaitu masih menunggu perkenan DYMM SPB YDPA.

Semua sememangnya tahu dan faham bahawa DYMM SPB YDPA berhak memberi pandangan balas atas setiap keputusan kerajaan itu. Tidaklah salah kerajaan meneliti apa kehendak dan pandangan DYMM SPB YDPA.

Sekiranya ada perbezaan dalam kaedah untuk menamatkan kuatkuasa ordinan, ia masih boleh dirunding dan dibincangkan, agar kedudukan dan kemuliaan raja kita terpelihara, serta kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan dipertahankan. Itulah amalan kerajaan PN selama ini.

Sesungguhnya, inilah pendirian kerajaan. Tuduhan kerajaan derhaka hanyalah satu lagi ejekan rekaan serupa tuduhan kerajaan gagal, kedua-duanya datang dari kelompok yang sama, berbaur mainan politik.

Perlu diketahui, YAB PM mengadap DYMM SPB YDPA setiap hari rabu, sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet. 

Setiap mesyuarat kabinet YAB PM tanpa gagal, akan memulakan dengan memaklumkan segala titah pandangan DYMM SPB YDPA. 

Segalanya tepati undang-undang

Amalan ini tidak pun dilakukan oleh kebanyakan perdana menteri terdahulu. YAB PM sentiasa mengarahkan kabinet untuk melaksanakan segala titah dan pandangan DYMM SPBYDPA.

Dalam isu revokasi ordinan ini juga begitu. Tiada masalah pun di sisi kerajaan. Segala-galanya perlu menepati undang-undang.

Pada 21 Julai keputusan dibuat dalam mesyuarat mingguan kabinet. pada 22 julai, peguam negara menyiapkan draf ordinan (pembatalan).

Kemudian pada 23 Julai, YAB PM mengutus warkah kepada DYMM SPB YDPA. Seterusnya pada 24 Julai, DYMM SPB YDPA menitahkan peguam negara dan menteri undang-undang mengadap baginda.

Pada 25 Julai pula adalah hari Ahad. Pada 26 Julai sidang parlimen bermula dan di situlah menteri undang-undang didesak pembangkang untuk mengetahui pendirian kerajaan, dan menteri undang-undang memaklumkan perkembangan terbaru. Semua berlaku in good faith!

Malah perlu diketahui, iaitu apabila isu itu cuba dikelirukan, YAB PM tanpa berlengah pada keesokan harinya iaitu pada 27 Julai, terus mengadap DYMM SPB YDPA bersama-sama peguam negara untuk menerangkan perkara sebenar. 

Malah YAB PM memohon maaf sekiranya apa yang disampaikan di parlimen, menimbulkan kekeliruan, dan ia boleh diperjelaskan. Jadi, di mana penderhakaannya?

Hasil daripada mengadap itu, DYMM SPB YDPA ada menjelaskan pandangan baginda kepada YAB PM dan YAB PM membawanya ke kabinet minggu berkenaan yang diadakan pada hari Jumaat, 29 Julai.

Perlu diketahui, pada pagi jumaat itu, YAB PM sekali lagi mengadap DYMM SPB YDPA, sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet.

Kabinet semestinya bincang segala yang berlaku. dan sekali lagi mengulangi komitmen untuk terus menjaga kemuliaan dan kedaulatan institusi YDPA serta melindungi teras dan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Maka amat jelas, kerajaan ini yang merupakan kerajaan bertunjangkan dan berteraskan parti melayu dan bumiputera yang diperkasakan dengan muafakat pelbagai kaum, tidak sama sekali mengizinkan institusi Raja-raja Melayu diderhakai atau diperalatkan oleh mereka yang pernah menderhaka.

Atas dasar inilah kerajaan ini terbentuk, setelah 22 bulan melihat bagaimana kedaulatan Raja-raja Melayu diancam dengan cara yang belum pernah dilihat berlaku sejak negara merdeka.

Atas dasar inilah juga 40 ahli parlimen BN, mengikrarkan sokongan berterusan kepada kerajaan PN ini, serta bersetia kepada DYMM SPB YDPA.

Nyior yang condong, tegak kembali. Kera tidak boleh meniti lagi.


ANNUAR MUSA ialah Ahli Parlimen Ketereh.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.