Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kumpulan perniagaan minta penjelasan isu Ordinan Darurat

Gabungan kumpulan perniagaan meminta kerajaan memberikan penjelasan mengenai peraturan berkaitan perniagaan semasa pandemik Covid-19.

Ini kerana menurut mereka banyak perkara yang tidak jelas mengenai status kesalahan dan denda di bawah Ordinan Darurat yang dikatakan dibatalkan kerajaan pada 21 Julai, namun tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Industries Unite, gabungan 116 persatuan perdagangan dan dewan perdagangan berkata, mereka tidak berniat mencampuri urusan politik tetapi berharap perkara itu dapat dijelaskan.

"Industries Unite tidak berpihak dalam politik dan tidak berniat untuk masuk campur isu politik yang ditimbulkan oleh kenyataan menteri di parlimen, kecuali untuk menyatakan bahawa banyak perniagaan menerima impak oleh pelbagai peraturan yang dibuat semasa darurat dan ini mesti ditangani oleh kerajaan dengan segera, termasuk tindakan undang-undang dan sekatan ke atas individu dan perniagaan sejak 21 Julai 2021.

"Kami meminta perdana menteri segera mengeluarkan kenyataan dalam memberi penjelasan," kata pengasas Industries Unite David Gurupatham dan Irwin SW Cheong dalam satu kenyataan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan pada Isnin lalu memberitahu Dewan Rakyat bahawa Ordinan Darurat dibatalkan pada 21 Julai namun Istana Negara memaklumkan menteri berkenaan telah mengelirukan dewan.

Yang di-Pertuan Agong meminta ordinan darurat dibahaskan di parlimen tetapi kerajaan mahu ia dibatalkan tanpa melalui badan perundangan itu.

Wakil Industries Unite berkata, keadaan itu menimbulkan kekeliruan.

"Kami difahamkan belum ada pewartaan, oleh itu ordinan ini masih berjalan," kata mereka.

[Baca berita penuh]