Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Azhar berkecuali dari usul isu Takiyuddin, Idrus 'kelirukan parlimen'

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun hari ini mengumumkan bahawa dia tidak akan membuat keputusan mengenai usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.

Usul Kulasegaran menggesa tindakan diambil terhadap menteri undang-undang Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Idrus Harun kerana disifatkan mengelirukan Dewan Rakyat berhubung pembatalan isu ordinan darurat.

Azhar mengatakan dia tidak dapat memutuskan perkara itu kerana Idrus adalah abang kandungnya.

"Oleh kerana itu, saya telah membuat keputusan untuk mengecualikan diri saya daripada membuat apa-apa keputusan mengenai, berkenaan ataupun yang bagaimana jua pun berkaitan dengan usul tersebut

"Apa-apa keputusan mengenai, berkenaan ataupun yang bagaimana jua pun berkaitan dengan usul tersebut saya serahkan kepada timbalan-timbalan Yang di-Pertua mengikut kekananan mereka iaitu, pertamanya Mohd Rashid Hasnon dan keduanya Azalina Othman Said.

"Saya tidak akan campur tangan dengan apa cara sekalipun dalam pelaksanaan tugasan timbalan-timbalan Yang di-DiPertua di dalam hal berkaitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini amat dukacita berhubung pengumuman Takiyuddin, dengan menyatakan bahawa baginda tidak pernah memberikan perkenan pembatalan tersebut.

Agong juga menyatakan kekecewaannya pada Takiyuddin dan Idrus kerana ordinan darurat tidak dibentang dan dibahaskan di parlimen.

Usul Kulasegaran menggambarkan tindakan itu sebagai derhaka dan meminta agar Takiyuddin dan Idrus diambil tindakan.

Semalam, Kulasegaran meminta Azhar untuk melepaskan dirinya daripada memutuskan usul ahli parlimen DAP itu kerana Idrus adalah abang kandungnya.

Kulasegaran juga mengatakan bahawa Idrus juga seharusnya mengundurkan diri ketika konflik timbul mengenai ordinan darurat.

"Saya ingin menyatakan bahawa terdapat konflik kepentingan yang jelas ketika Peguam Negara juga menasihati Raja, Kabinet dan Speaker.

"Oleh itu, Peguam Negara seharusnya mempertanggungjawabkan (recused) dirinya paling awal ketika konflik ini berlaku," katanya.

Sementara itu, Kulasegaran dalam satu kenyataan hari ini menggesa Azhar untuk melanjutkan persidangan parlimen selepas Isnin dan memastikan masa yang cukup diberikan untuk usul berkenaan diperdebatkan, serta usul dan ordinan darurat lain seperti yang diminta oleh Agong.

"Saya gembira kerana speaker akhirnya menyedari terdapat konflik kepentingan untuk dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat ketika saudaranya adalah peguam negara.

"Sayang sekali dia tidak menyedari hal ini ketika dia dilantik pada mulanya," katanya.