Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Separuh dekad selepas Muhyiddin bersajak

ULASAN | Apa yang berlaku pada 2016 lalu dan rentetan peristiwa demi peristiwa politik sesudah itulah yang meletakkan Muhyiddin Yassin pada kedudukannya seperti yang ada hari ini.

Di saat ini negara dikejutkan dengan siri kenyataan umum sama ada dari Istana Negara atau Putrajaya, kita pun teringat kepada serangkap sajak yang pernah diucapkan Muyiddin Yassin pada tahun berkenaan.

Bekas timbalan presiden Umno itu - pada 21 Mac 2016 - menukilkan sebahagian daripada sajak paling dikenali Chairil Anwar berjudul Aku. Pada hari itu Aku mendapat 'penghargaan' dan tidak ramai yang menyangka ia dibacakan oleh bakal perdana menteri Malaysia.

"Aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang," ucap Muhyiddin pada satu ceramah selepas digantung tugasnya sebagai timbalan presiden Umno. 

Kepada yang tidak biasa, sila tarik nafas dan bertenang semasa membaca perkataan "jalang" itu. Ia bukanlah seperti yang anda sangka. Bertenang dan beleklah kamus untuk mencari makna luas perkataan "jalang" dan jangan disempitkan dengan akal yang terpenjara dan kemalasan yang berleluasa. 

Memang ketika itu Muhyiddin 'terbuang'. Di sebalik ketokohan dan nama besarnya, Umno memperlakukan Muhyiddin sebegitu. Maka dalam keadaan 'terbuang' itulah dia menjelajah ke sana dan ke sini, termasuk di Johor - negeri yang pernah ditadbirnya sebagai menteri besar.

Hari ini Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional dilihat sesetengah orang sedang 'terbuang' namun ia tidaklah semudah itu untuk mereka diketepikan dari pusat kuasa di Putrajaya.

Sepucuk warkah dari Istana Negara setakat ini belum mampu menyebabkan PN gugur dari mana-mana tangkai walaupun di sana sini terdengar pekikan "derhaka" bergema.

Dewan Rakyat memang begitu

Semuanya gara-gara pembatalan ordinan darurat yang diumum Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang dianggap sesetengah pihak membelakangkan istana.

Sudah tentu di pihak kerajaan sudah ada juga penyokongnya. Malaysia ini, begitulah. Suara penyokong kerajaan akan segera muncul apabila ada sesuatu dasar atau keputusan diambil.

Biasanya daripada muka-muka yang itu jugalah. Sama ada tokoh akademik, pensyarah universiti, 'pakar perlembagaan' dan pakar itu dan ini.

Sementara itu ada juga orang yang melihat sidang khas parlimen pada Isnin hingga kelmarin tidak lebih daripada persembahan segerombolan 'haiwan dari zoo'. Tapi sedarlah kita bahawa ia bukanlah kiasan yang matang lagi sejahtera.

Gegak-gempita dari Dewan Rakyat adalah perkara biasa dan bukan hanya baru terjadi iaitu sejak PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

Itulah perjuangan - mencari hak dan peluang. Justeru apa yang menjadi kebisingan di parlimen sudah menghasilkan natijahnya. Kenyataan Istana Negara itulah kesannya.

Barangkali sekali lagi Muyiddin boleh mengucapkan bait-bait sajak Chairil Anwar sekali lagi. Presiden Bersatu itu wajar mencari masa untuk merenung apakah dia "aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang" juga.

Apakah hari ini ada seseorang dalam kabinet Muhyiddin yang membuatkan perdana menteri kita itu berada 'dalam kumpulan terbuang'? Dan apakah dia akan sekali lagi menjadi 'binatang jalang'?

Namun Muhyiddin tidak perlu gusar. Selagi dia berada di tampuk kuasa, dia tidak akan dibuang oleh semua. PAS sendiri sudah lantang, matang dan sejahtera menyatakan dukungan mereka.

Demokrasi tertegak secara tuntas

Cuma, untuk berlaku adil, pengumuman PAS itu menyatakan mereka kekal setia kepada perdana menteri. PAS tidak menyatakan sokongan itu pada batang tubuh mana-mana orang waima ia bernama Muhyiddin Yassin pun. PAS memperteguh sokongan mereka kepada "perdana menteri."

Di situlah juga letaknya rahsia kematangan dan kesejahteraan PAS.

Dalam perkembangan ini memang benarlah tidak perlu ada tuding-menuding jari oleh sesiapa pun kerana ia dikhuatiri boleh tertunding ke muka sendiri.

Kegelisahan politik sedang berlaku ketika ini lebih mengharukan jika difkirkan betapa negara sedang bergelut dengan ganasnya Covid-19 yang sedang merebak. Ada hari tertentu angka kes baru melebih 17,000. Namun, hakikat perlu dihadapi dengan realistik.

Institusi raja berpelembagaan harus dicermati dengan sebaik mungkin oleh semua pihak agar kedaulatan negara dan demokrasi tertegak secara tuntas.

Letak duduk Muhyiddin serta barisan kabinetnya harus dikembalikan ke mata hati setiap wakil rakyat di parlimen. Malah jika ada bukti yang sah dan maruah dijunjung, eloklah mereka berundur secara terhormat.

Akhir kalam barangkali sesuai juga untuk Muhyiddin merenung sebuah lagi sajak peninggalan Chairil, Sia-Sia, dan terserahlah mahu menjadi apa.

Penghabisan kali itu kau datang

membawaku karangan kembang

Mawar merah dan melati putih:

darah dan suci

Kau tebarkan di depanku

serta pandang yang memastikan: Untukmu.


Sudah itu kita sama termangu

Saling bertanya: Apakah ini?

Cinta? Keduanya tak mengerti.


Sehari itu kita bersama. Tak hampir-menghampiri.


Ah! Hatiku yang tak mau memberi

Mampus kau dikoyak-koyak sepi.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.