Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Elak babi melintas, kakitangan KTMB maut kemalangan

Seorang kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan ketika mengelak seekor babi melintas sebelum melanggar peti pencawang elektrik dalam kejadian di Jalan Salor Baru di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud berkata, dalam kejadian sekitar jam 7 pagi tadi, mangsa Dozian Harun, 53, bersama anaknya, 21, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Tanah Merah dengan memandu kereta jenis Toyota Camry.

"Semasa kemalangan, mangsa dipercayai cuba mengelak seekor babi yang melintas menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum merempuh peti pencawang elektrik yang berada di bahu jalan.

"Mangsa cedera parah di kepala akibat terhantuk pada bahagian hadapan kenderaan terbabit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Perempuan Raja Zainab II untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal sekitar jam 10 pagi ini.

"Punca kematian mangsa masih belum dapat disahkan lagi dan kita masih menunggu laporan bedah siasat pihak hospital.

"Punca kemalangan diklasifikasikan sebagai kegagalan mengawal kenderaan selepas cuba mengelak seekor babi yang melintas pada jarak yang dekat," katanya.