Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tiga dipanggil bantu siasatan, penganjur #Lawan kecam polis

Menjelang tunjuk perasaan #Lawan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini, penganjurnya Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) mengecam tindakan polis yang didakwa mereka sebagai menyalahgunakan undang-undang untuk menghalang anak muda yang telah atau ingin berhimpun.

Kenyataan itu dibuat selepas tiga individu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Polis Dang Wangi esok untuk disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Tindakan polis ini jelas menunjukkan undang-undang bukanlah untuk mempertahankan kepentingan rakyat tetapi untuk melindungi kepentingan pihak tertentu daripada dikritik.

"Termasuk siasatan esok, sudah lebih 30 siasatan berasingan dikenakan terhadap anak muda yang turun memprotes untuk menyatakan tuntutan mereka," kata SSR dalam kenyataan media hari ini.

Untuk rekod, SSR sebelum ini mendakwa mereka berdepan intimidasi polis ekoran siri konvoi protes bendera hitam yang dilaporkan melibatkan 100 kenderaan di seluruh negara.

Konvoi ini merupakan permulaan kepada protes jalanan #Lawan yang dirancang SSR untuk 31 Julai.

Sementara itu, SSR menyeru semua ahli parlimen dan Adun untuk turun bersama mereka di Dataran Merdeka jam 11 pagi pada 31 Julai ini.

"Hari pertama persidangan parlimen (pada26 Julai lalu) menzahirkan kelemahan kepimpinan Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) dalam menjawab segala persoalan yang dibangkitkan ahli parlimen.

"Tuntutan kami masih jelas, iaitu supaya Muhyiddin meletakkan jawatan, buka sidang parlimen sepenuhnya dan moratorium pinjaman secara automatik tanpa had untuk semua.

"Anak muda akan tetap turun ke jalan raya pada 31 Julai ini di Dataran Merdeka! Kami mempunyai hak untuk berhimpun malah kami akan turun dengan mematuhi protokol kesihatan," katanya.