Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Tutup pintu kereta, berjalan, tiba-tiba polis datang kompaun'

"Saya baru turun kereta dan berjalan untuk ke kedai runcit, dalam pada itu sekumpulan anggota polis datang terus minta kad pengenalan dan mengambil tindakan kompaun terhadap saya," kata seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan dalan kejadian 6.20 petang, di Kampung Panggong, Pasir Puteh, Kelantan, semalam.

Mohd Nizam Che Mohamad Ali, 57, berkata, dia tidak berpuas hati dengan tindakan kompaun dikenakan ke atasnya yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Katanya ketika kejadian itu, terdapat beberapa individu sedang berada di sebuah wakaf berhampiran lokasi dan dia menuju ke kedai runcit yang terletak di depan wakaf tersebut.

"Saya ke ke situ sebab berjanji dengan seorang penduduk yang mahu menyerahkan borang permohonan bantuan.

"Disebabkan penduduk itu belum tiba, saya berjalan hendak ke kedai runcit untuk membeli barangan keperluan.

"Tetapi saya turut dikompaun bersama beberapa individu lain yang sedang duduk di wakaf tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Mohd Nizam memuat naik hantaran di Facebook menyatakan rasa terkilannya susulan kejadian itu.

Dakwanya, dia cuba membuat penjelasan kepada anggota polis berkenaan tetapi tidak diendahkan sama sekali.

'Mereka kumpul makan durian' - Polis

"Kompaun dikeluarkan tanpa tanya apa-apa dahulu. Saya sudah jelaskan dengan baik sebab saya tidak lakukan apa-apa kesalahan.

"Jadi saya tidak akan membayar kompaun RM1,500 yang dikenakan kerana kesalahan berkumpul tanpa penjarakan sosial," katanya yang juga aktivis pertubuhan Bantu Cakna Rakyat Pasir Puteh.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri, ketika dihubungi menafikan dakwaan tersebut.

Jelasnya, anggotanya sudah membuat pemerhatian sebelum tindakan diambil.

"Anggota bertugas sudah pusing dua kali untuk memerhati aktiviti sekumpulan individu di lokasi. Mereka berkumpul sedang makan durian.

"Terserahlah kalau tak puas hati dia boleh lawan di mahkamah," jelasnya yang turut mengesahkan kompaun terbabit.