Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penyeludup tinggalkan mawar dalam lori elak kena cekup polis

Gara-gara kecut dengan kehadiran pihak berkuasa sekumpulan lelaki bertempiaran lari dengan meninggalkan sebuah lori bersama muatan 800 batang pokok bunga mawar bernilai puluhan ribu ringgit.

Bunga mawar tersebut dipercayai baru saja diseludup dari negara jiran.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) Kelantan, Supt Nor Azizan Yusof, berkata bunga-bunga mawar berkenaan dianggar bernilai kira-kira RM40,000.

Turut dirampas pihak berkuasa, katanya, ialah lori berkenaan yang dianggarkan bernilai RM25,000.

Menjelaskan operasi tersebut Nor Azizan berkata, pihaknya melihat sekumpulan lelaki mencurigakan sedang memindahkan beg-beg plastik ke dalam sebuah lori di pangkalan haram sekitar jam 11.30 malam pada 26 Julai.

Katanya, sebalik menyedari tingkah laku mereka diperhatikan, lelaki terbabit lintang-pukang melarikan diri dengan sebahagian besar menaiki perahu menuju ke Thailand.

"Pemandu lori itu pula memecut laju kenderaannya menuju ke jalan utama Rantau Panjang," katanya melalui kenyataan media malam tadi.

Menurut Nor Azizan, hasil tindakan pantas dan cekap PGA9 Kelantan, mereka berjaya mengesan lori berkenaan yang ditinggalkan dan enjinnya masih hidup di tepi jalan menghala ke Gual Tinggi, Pasir Mas.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 800 batang pokok bunga mawar di dalam setiap satu plastik berwarna putih.

"Pokok bunga itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand," katanya.

Menurut Nor Azizan, pihaknya percaya bungan mawar berkenaan mahu dipasarkan di sekitar Kelantan kerana ia memang mendapat permintaan yang tinggi.

Katanya PGA9 Kelantan telah membuat laporan di Balai Polis Rantau Panjang dan menyerahkan hasil rampasan tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011," katanya.