Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dr Adham: Ujian keberkesanan Ivermectin rawat Covid-19 dijangka September ini

PARLIMEN | Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, keputusan ujian klinikal berhubung keberkensanan ubat antiparasit Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 berisiko tinggi dijangka akan diketahui pada September ini.

"Kajian ini dipanggil 'keberkesanan rawatan Ivermectin pada pesakit berisiko tinggi Covid-19' dan ia telah dipersetujui Jawatankuasa Kajian dan Etika Perubatan (MREC)

"Seramai 500 pesakit Covid-19 berisiko tinggi bergejala ringan di peringkat awal jangkitan terlibat.

"Setakat ini, sekitar 200 pesakit Covid-19 telah terlibat dalam ujian klinikal dan keputusan dijangka diketahui pada September ini," kata Adham dalam ucapan penggulungannya di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab pertanyaan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) tentang apakah kerajaan akan mempertimbangkan penggunaan Ivermectin sebagai pilihan rawatan kepada pesakit Covid-19.

Pada Mei lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan rancangan untuk menjalankan ujian klinikal secara rawak untuk melihat apakah Ivermectin dapat digunakan dalam rawatan Covid-19, berikutan dakwaan - yang tidak dibuktikan - ia boleh digunakan sebagai ubat pencegahan untuk Covid-19.

Ivermectin adalah ubat antiparasit yang biasanya digunakan dalam perubatan veterinar, terutama dalam merawat jangkitan cacing.

Semasa ucapan penggulungan Adham hari ini, Sivarasa Rasiah (PH-Sungai Buloh) menggesanya untuk meluluskan penggunaan Ivermectin secara off-label untuk merawat pesakit Covid-19, berbanding menggunakannya untuk ujian klinikal sahaja.

Penggunaan 'off label' bermaksud ubat tersebut digunakan untuk merawat sesuatu yang tidak tersenarai pada labelnya.

Namun, Adham berkata sebarang keputusan mengenai penggunaannya perlu menunggu keputusan ujian klinikal dahulu.

Dia juga menekankan bahawa ujian itu bertujuan memastikan keberkesanan dan keselamatan ubat tersebut, sebelum keputusan dapat dibuat jika ia boleh digunakan terhadap manusia.

Bagaimanapun Sivarasa berkata, sementara ujian itu diteruskan, KKM harus membenarkan doktor menggunakan Ivermectin untuk merawat pesakit mereka tanpa perlu berdepan risiko tuduhan pelanggaran etika.

Dia membangkitkan yang Ivermectin telah digunakan selama 40 tahun. Bagaimanapun Adham membalasnya dengan berkata, “Tetapi untuk apa ia digunakan selama 40 tahun itu? Sebagai ubat antiparasit untuk cacing ”.

Khalid Samad (PH-Shah Alam) juga Menyuarakan sokongan terhadap Sivarasa dan berkata ubat itu selamat digunakan dan tiada kesan sampingan.

Bagaimanapun Adham menegaskan ia mempunyai kesan sampingan dan India telah menarik balik penggunaannya dalam rawatan Covid-19 pada awal Jun lalu.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat sebelum ini mengingatkan antara kesan sampingan yang dikaitkan dengan Ivermectin adalah ruam pada kulit, mual, muntah, cirit-birit, sakit perut, bengkak pada muka dan anggota badan serta penurunan tekanan darah dengan mendadak.

Ketika Adham cuba beralih kepada topik seterusnya, Johari Abdul (PH-Sungai Petani) menggesanya agar memberi pejelasan berkenaan penggunaan secara off label.

"Saya buat keputusan untuk kita menunggu hingga keputusan ujian pada bulan September atau Oktober," tegas Adham.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata pada April lalu, para penyelidik mendapati Ivermectin dapat menghalang replikasi SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan penyakit Covid-19.

Bagaimanapun, kajian itu menggunakan dos Ivermectin yang tinggi yang tidak dapat diberikan kepada manusia.

Pada April lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan Ivermectin hanya digunakan untuk ujian klinikal - bukan dalam rawatan - ekoran kekurangan data.