Perkongsian data Covid-19 lambat 10 bulan, kata Dr Dzul
PARLIMEN | Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bahawa sistem Github, yang diperincikan Adham hari ini, terlambat 10 bulan memandangkan jumlah keseluruhan jangkitan kes Covid-19 sudah melebihi sejuta.
Sistem GitHub yang boleh diakses oleh orang ramai menyediakan maklumat berkenaan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.
Diwujudkan minggu lalu, ia menyediakan maklumat antaranya bilangan kes, ujian yang dilakukan, kemasukan hospital, rawatan kritikal di ICU dan jumlah daftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera.
“Saya ucapkan jutaan terima kasih atas (data yang dimasukkan dalam) GitHub ini cumanya ia 10 months too late (terlambat 10 bulan),” katanya yang juga bekas menteri kesihatan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun Adham menjawab, “Tak apa, sekurang-kurangnya ada,” sambil meneruskan penggulungannya.
Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Dzulkefly berkata ia tidak menjadi persoalan utama kerana menurutnya antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan jangkitan adalah keengganan KKM berkongsi data secara terperinci dengan kerajaan Selangor.
Untuk rekod, Selangor kekal menjadi negeri yang mencatatkan jumlah kes harian Covid-19 yang tertinggi di Malaysia.
“Itu bukan persoalannya. Persoalannya kerana tidak berkongsi data...dalam keadaan (negara sudah lebih) satu juta kes. Itu perlu difahami oleh kerajaan,” katanya.
Namun Adham membalas bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) ada dalam Task Force Covid-19 Selangor yang dipengerusikan Dzulkefly.
Bagaimanapun Dzulkefly kemudian mendakwa JKNS tidak dibenarkan berkongsi data dengan kerajaan Selangor.
Adham: Yang Berhormat (Dzulkefly) mengelirukan Dewan.
Dzulkefly: Apa yang mengelirukan Dewan? You’re sleeping on the job (anda tidak buat kerja)! Ini tanggungjawab anda.
Tidak peduli dengan serangan Dzulkefly, Adham meneruskan penggulungan dengan menyentuh soal ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran.
Bagaimanapun, Adham sekali lagi diserang oleh Dzulkefly yang mendakwa dia berbohong berkenaan ujian saringan secara besar-besaran telah diadakan di setiap negeri.
Adham berkata terdapat 35 jenis saringan yang dibuat untuk membendung penularan Covid-19.
“Ini merupakan inisiatif yang baik sebenarnya yang dijalankan oleh KKM di setiap negeri sejak pandemik berlaku.
“KKM telah menjalankan ujian bersasar secara massa dan juga ujian massa di kawasan PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketatkan)," kata Adham meneruskan ucapan penggulungannya.
Dzulkefly sekali lagi mencelah dan mempersoalkan negeri yang terlibat dalam ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran yang disebut Adham.
“Di mana? Lain kali jangan cakap sahaja…mana data? Jangan berbohong dalam Dewan yang mulia ni.
“Di mana di negeri-negeri lain yang buat? Jangan berbohong. Di Selangor pun kami terkial-kial buat, apatah lagi di negeri lain,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai