Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pembatalan ordinan darurat tak berperlembagaan, kata Mat Hasan

Pembatalan ordinan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam adalah tidak berpelembagaan, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Jelasnya, tindakan kerajaan PN sangat merisaukan jika dibenarkan berterusan dan negara akan menuju ke kancah “stealth authoritarianism”.

"Keadaan di mana dalam waktu krisis, kerajaan menggunakan undang-undang mengikut citarasa mereka. Di kala mereka wajar lebih telus, mereka melakukan sebaliknya. Apa lagi bila mereka menggunakan krisis untuk melemahkan pelbagai instrumen semak dan imbang.

"Atau menggunakan krisis untuk mengukuhkan lagi kuasa eksekutif dan bukannya memberdayakan kepercayaan nasional melalui pelbagai kerjasama demokratik rentas politik dan ideologi.

"Pembatalan ordinan darurat oleh kerajaan semalam kepada saya adalah tidak berpelembagaan. Pembentangan ordinan berkaitan darurat telah dijadualkan untuk dibentangkan dalam sidang parlimen khas. Namun secara tiba-tiba ia telah dibatalkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan mengejutkan Dewan Rakyat apabila mengumumkan kerajaan telah membatalkan enam Ordinan Darurat yang berkuat kuasa pada 21 Julai tanpa dibawa ke parlimen.

Pembatalan berkenaan yang menurut Perlembagaan Persekutuan seharusnya dilakukan melalui parlimen, dilihat mempunyai implikasi serius.

Pengumuman Takiyuddin itu menimbulkan pertikaian dalam kalangan ahli parlimen pembangkang dan juga Umno.

Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan pemansuhan lebih awal ordinan darurat yang didakwa secara senyap dan undur tarikh (backdated) membuktikan kerajaan PN secara diam-diam akur mereka sudah hilang majoriti.

PN juga, tambah bekas perdana menteri itu, bertindak sedemikian apabila gagal membeli lebih ramai ahli parlimen - yang dilabelnya sebagai katak - untuk menyokong kerajaan berkenaan.

"Memansuhkannya secara senyap dan secara backdated merupakan satu pengakuan bahawa kerajaan hari ini sudah hilang majoriti dan mereka telah gagal membeli lebih banyak katak," katanya dalam satu hantaran di media sosial pagi ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata tindakan yang diambil kerajaan PN itu tiada ketelusan.

Jelasnya, keputusan itu mencemarkan imej parlimen yang menurutnya dijadikan medan persendaan oleh kerajaan bagi memenuhi kepentingan mereka.

"Semua dilakukan tanpa ketelusan. Tiada pengumuman rasmi, tiada pembentangan di Parlimen, tiada makluman dari Istana Negara dan penwartaan.

"Parlimen bukan medan persendaan. Kerajaan PN menggunakan Parlimen hanya untuk memenuhi kepentingan mereka dan bukan kepentingan nasional.

"Ordinan darurat dilaksanakan tanpa di bentangkan di Parlimen, tidak di debatkan dan pelaksanaannya tidak dapat di semak dan imbang oleh Parlimen. Pembatalannya juga hanya dimaklumkan di Parlimen. Sejak bila Parlimen hanya menjadi ‘rubber stamp’ kepada keputusan kabinet?" katanya lagi.

Sementara itu Mohamad berkata Umno telah melakukan tugasnya senafas dengan desakan rakyat menentang perisytiharan darurat, mendesak pembatalannya, mengembalikan persidangan parlimen dan fungsi Perlembagaan.