Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP pembangkang gesa k’jaan tingkatkan kapasiti katil ICU

Bimbang dengan situasi unit rawatan rapi (ICU) di hospital yang kekurangan katil, ahli parlimen pembangkang menggesa supaya kerajaan meningkatkan jumlah katil di hospital-hospital awam terutamanya di empat negeri yang mencatatkan kes jangkitan tertinggi.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Gopeng, Lee Boon Chye mempersoalkan langkah yang telah dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila peningkatan kes harian Covid-19 di negara mencecah 17,000 beberapa hari lalu sehingga membebankan kapasiti ICU di hospital awam.

“Ia penting (penambahan katil ICU) sebab kalau kategori 3, 4 dan 5 mesti dirawat di ICU kerana mereka (pesakit) kekurangan oksigen, kekurangan ventilator (alat bantuan pernafasan).

“Jadi (kemudahan) ICU tu penting. ICU tu penyelamat nyawa. Tanpa ICU yang mencukupi, ada kemungkinan nyawa yang terkorban kerana kemudahan ICU, ventilator tak cukup,” kata Lee yang juga bekas timbalan menteri kesihatan pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Sim yang turut berada di sidang media yang sama menunjukkan data kapasiti katil ICU dan pesakit ICU sehingga 24 Julai 2021 dari Kementerian Kesihatan.

Katanya, data tersebut menunjukkan kapasiti ICU di kebanyakan negeri berada pada tahap kritikal.

“Boleh dikatakan kapasiti ICU 'telah masuk ICU'. Banyak negeri telah mencecah lebih 100 peratus, sesetengah mencecah 200 peratus. Ini amat mengejutkan,” katanya.

Sim berkata, kerajaan gagal mengambil langkah awal untuk meningkatkan kapasiti ICU, terutamanya dengan kuasa yang diberi kepada mereka di bawah Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 2021.

Sim turut membangkitkan isu Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang disifatkannya sebagai tidak munasabah untuk suatu negeri itu beralih ke fasa yang lain.

“Tiga metrik yang akan dipertimbangkan adalah purata kes harian, kapasiti dalam ICU, dan kadar vaksinasi.

“Sebagai contoh, satu negeri yang ingin transisi dari Fasa 1 ke Fasa 2 haruslah mencapai purata kes harian kurang daripada 12 per 100,000 populasi, sistem kesihatan awam tidak kritikal dengan kapasiti ICU pada kadar sederhana, dan kadar vaksinasi penuh yang sekurang-kurangnya 10 peratus.

“Untuk ke Fasa 3 dan 4, purata kes dan kapasiti ICU haruslah lebih rendah dan kadar vaksinasi haruslah lebih tinggi berbanding kondisi yang dicontohkan,” katanya.

Tambahnya, melihat kepada situasi di Malaysia setakat hari ini, jelas bahawa negara ini tidak akan mampu menccapai syarat-syarat yang ditetapkan seperti gambaran yang diberi oleh kerajaan.

“Memang, kadar vaksinasi yang disasarkan berkemungkinan besar boleh dicapai, tetapi dua lagi metrik tersebut tidak boleh dicapai oleh kerana kegagalan kerajaan PN dalam melaksanakan tugas dengan efisen,” katanya sambil menekankan faktor kepada masalah itu adalah kapasiti katil di ICU.

Lee juga menyifatkan bahawa untuk negara mencapai nilai ambang 4,000 kes bagi kes harian Covid-19 adalah tidak realistik.

“Apabila PPN tu dirangka, seharusnya ia tumpu kepada paling utama kadar vaksinasi sahaja.

“Malangnya sampai hari ni tak dikaji. Jadi, saya jangka apa yang akan dilakukan oleh kerajaan adalah ‘mengalihkan pintu gol supaya ia masih boleh skor’.

“Dia (kerajaan) akan alihkan pintu gol sebab dia tahu dengan dengan ketiga-tiga metrik yang ada, dia tidak akan mencapai matlamat untuk beralih ke fasa kedua,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata fasa pertama PPN akan dilanjutkan memandangkan jumlah kes Covid-19 di negara ini belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan sebelum dapat beralih ke fasa seterusnya.

Semalam, KKM memaklumkan terdapat 14,516 kes baru Covid-19 dengan jumlah kematian sebanyak 207.

Tiga negeri dan satu Wilayah Persekutuan merekodkan kes harian melebihi 1,000 kes, iaitu Selangor (6,508 kes), Johor (1,449 kes), Kuala Lumpur (1,425 kes) dan Kedah (1,160 kes).

Dalam pada itu, 1,009 pesakit sedang dirawat di ICU dengan 524 kes memerlukan alat bantuan pernafasan - kedua-duanya pada kadar tertinggi setakat ini.