Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kos baik pulih 13 rumah teruk dipukul ribut dibiayai YSIJ

Kos baik pulih sebanyak 13 kediaman penduduk yang terjejas teruk akibat ribut di Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi, Jumaat lepas, akan dibiayai oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, menerusi Facebook rasmi baginda, telah menitahkan agar kerja-kerja pembaikan membabitkan 13 kediaman itu dimulakan segera.

“Saya telah menitahkan 13 rumah yang terjejas teruk ketika ini segera dimulakan kerja-kerja pembaikan supaya kelak penduduk dapat pulang ke kediaman masing-masing,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut menitahkan supaya Mejar Cina Datuk David Wong untuk mendapatkan maklumat terperinci daripada Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil berhubung jumlah keseluruhan kediaman yang terjejas teruk.

Sementara itu, Wong menerusi hantaran itu berkata kerja-kerja pembaikan akan dimulakan segera membabitkan kediaman yang terjejas teruk ketika ini.

“Dari semasa ke semasa, saya akan mendapatkan maklumat daripada Pegawai Daerah (Kota Tinggi) berhubung kediaman lain yang turut terjejas, termasuk kerosakan kecil,” katanya.

Awal pagi tadi, baginda turut berkenan mengemudi sendiri bot laju dari daerah Mersing ke Jeti Awam Sedili Besar sebelum berangkat melawat kawasan perkampungan serta kediaman penduduk yang terjejas akibat bencana alam itu dan turut menyampaikan sumbangan peribadi.

- Bernama