Menjelang hartal, Khaled gesa doktor kontrak terus runding k'jaan
Menjelang hartal oleh doktor kontrak esok, pemimpin Umno menggesa petugas perubatan terlibat untuk terus merundingkan tuntutan mereka dengan kerajaan.
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menyifatkan mengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan tuntutan Gerakan Hartal Doktor Kontrak wajar diberikan ruang untuk dibincang dan dipertimbangkan.
"Pastinya tidak semua permintaan dapat dipenuhi dan tidak semua tawaran kerajaan harus ditolak sebegitu sahaja.
"Negara sedang berhadapan dengan darurat kesihatan yang teruk.
"Masalah ini tidak boleh dibenarkan berlarutan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak semua pegawai perubatan terlibat dengan menawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.
Pengumuman itu selepas sekumpulan doktor kontrak dilaporkan akan meneruskan rancangan mengadakan hartal pada 26 Julai ini selepas tiada sebarang tawaran bagi mengatasi masalah mereka.
Ia antara lain membangkitkan isu penamatan kontrak dan potensi pegawai perubatan muda yang dikhuatiri tidak mempunyai peluang yang baik dalam karier mereka pada masa depan.
Penganjur gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) semalam berkata tinjauan kumpulan itu telah mengenal pasti kira-kira 5,000 pegawai perubatan kontrak dari kemudahan kesihatan kerajaan di seluruh negara dijangka menyertai mogok secara 'walkout' yang akan berlangsung pada 11 pagi esok.
Walkout adalah tindakan apabila pekerja beramai-ramai berhenti membuat tugasan secara serentak.
Penganjur juga telah menggariskan prosedur untuk memastikan rawatan pesakit hospital tidak akan terganggu dengan apa cara sekalipun, termasuk bagi mereka yang ditempatkan di unit rawatan rapi, untuk memastikan pemindahan tugas kepada doktor tetap.
Sementara itu Khaled berkata, jika hartal doktor kontrak akan diteruskan esok tindakan itu dijangka akan memberi kesan kritikal kepada kelancaran sistem perkhidmatan kesihatan negara.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru semua pihak segera untuk mencari jalan tengah.
"Kerajaan wajar menunjukkan empati yang mendalam terhadap desakan para pegawaiperubatan muda ini.
"Tuntutan mereka dalam isu seperti gaji, pengambilan (jawatan) tetap, elaun, peluang melakukan program kepakaran serta manfaat-manfaat lain adalah perkara yang dituntut dengan jelas, konsisten dan rasional," katanya.
Tambah Khaled, dia turut menyeru kerajaan untuk tampil dengan pelan penyelesaian komprehensif, mengambil kira kemaslahatan jangka panjang serta keperluan keseluruhan sistem kesihatan negara.
"Izinkan hartal ini berlaku esok sebagai menghormati kebebasan bersuara kumpulan doktor perubatan ini tetapi kemudian segeralah kedua-dua pihak kembali semula ke meja rundingan.
"Doktor dan pengamal perubatan adalah pejuang barisan hadapan negara. Mereka harus dilayan dan dihargai dengan sewajar dan seadilnya.
"Namun yang lebih utama ialah kepentingan nasional. Mengimbangi kesemua ini, kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan dan kumpulan doktor muda ini," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai