Tiga PPV baru di Klang tangani peningkatan kes Covid-19
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengalu-alukan pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) baru yang akan mula beroperasi di Dewan Hokkien Klang esok dengan kapasiti vaksinasi 2,000 orang sehari.
Ini berikutan Klang merupakan salah satu kawasan yang terjejas teruk dengan wabak Covid-19 di negara ini, namun mencapai kadar vaksinasi rendah sebanyak 11.64 peratus.
Charles berkata, PPV baru ini merupakan kerjasama perkongsian awam-awam antara kerajaan dan badan bukan kerajaan.
"Ini adalah projek kerjasama awam-awam kerana Dewan Hokkien bekerjasama dengan Persatuan Kanser Nasional Malaysia.
"Selain itu beberapa PPV baru akan mula beroperasi di Klang dan kadar vaksinasi di PPV yang ada juga akan ditingkatkan," kata Charles kepada Malaysiakini.
Dia berkata, dua PPV lain di dewan Sokka Gakai dan Dewan Kemuning Utama juga akan mula beroperasi esok, manakala kapasiti PPV di Hotel Wyndham, Hotel Premiere dan Kompleks Sukan Pandamaran juga akan ditingkatkan.
"Ini membolehkan kemampuan vaksinasi Klang meningkat kepada hampir 20,000 sehari," tambahnya.
Charles berkata, penduduk berumur 18 tahun ke atas di Daerah Klang dianggarkan berjumlah 942,000 orang, dengan 200,000 pekerja asing termasuk pendatang tanpa izin dan pelarian menjadikan jumlah penduduk di kawasan itu dianggarkan seramai 1.14 juta orang.
"Pada 21 Julai 2021, sejumlah 87,803 orang (11,64 peratus) di daerah Klang telah divaksinasi sepenuhnya dengan dua dos, manakala 208,055 telah menerima dos vaksin pertama.
"Kadar ini menunjukkan bahawa Daerah Klang memiliki tingkat vaksinasi kedua terendah di negeri ini,"katanya.
Charles berkata sebelum ini, ramai penduduk Klang mendapat temu janji mereka untuk menerima vaksin di Shah Alam.
"Pejabat saya telah beberapa kali menerima tekanan dan membuat panggilan susulan kepada kementerian untuk meningkatkan kadar vaksinasi di Klang dengan pembukaan PPV baru.
"Dengan anggaran kemampuan vaksinasi 20,000 sehari, imunisasi kelompok jika 80 peratus akan memakan masa 63 hari untuk dicapai, manakala imunisasi 100 peratus diijangka memerlukan 83 hari untuk dicapai dengan semua PPV beroperasi dengan kapasiti penuh," katanya.
Charles berkata, Klang memiliki tiga pelabuhan yang menjadikannya sebagai pusat logistik dengan sektor-sektor penting seperti perubatan, makanan dan pembuatan tertumpu di daerah ini.
"Vaksinasi untuk semua pekerja dengan segera sangat penting untuk mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 dan melindungi anggota keluarga.
"Pejabat saya sentiasa menerima panggilan dari keluarga yang dijangkiti Covid-19 dan kebanyakan pesakit yang tidak divaksin didapati mencapai tahap kritikal dan kebarangkalian pesakit meninggal dunia adalah tinggi," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai