Kerajaan suruh 'stay at home' atau pergi 'homestay', tanya Najib
Bekas presiden Umno Najib Razak menegur pegawai timbalan speaker Dewan Rakyat yang mengaitkan isu parti itu dengan isu Ahli Parlimen Batu Pahat, Mohd Rashid Hasnon, dengan tuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Kata Najib, isu yang berbangkit sekarang bukanlah semata-mata sama ada Mohd Rashid melanggar SOP atau tidak dan memakai pelitup muka pada setiap masa.
Sebaliknya menurut Najib, ada orang ramai yang tertanya-tanya mengapa bekas ahli PKR itu membawa anak dan isterinya menginap di rumah inap desa (homestay) ketika orang lain dilarang berbuat demikian.
"Apapun, ramai juga yang tanya kenapa kerajaan suruh rakyat stay home (duduk di rumah) bersama keluarga tapi dia pula bawa keluarga bersama ke homestay?" katanya di media sosial.
Semalam tular di media sosial gambar Mohd Rashid sedang menikmati hidangan di sebuah premis yang kemudian dijelaskan merupakan kemudahan inap desa.
Menurut setiausaha sulit Mohd Rashid, Mohd Zaihan Mohd Zainal, ahli politik terbabit berada di situ untuk menyembelih sendiri korban sempena Aidiladha.
Penyembelihan tersebut, kata Mohd Zaihan, berlangsung pada jam 3 pagi.
Mohd Zaihan juga meminta akaun Facebook yang menularkan gambar tersebut untuk bertanya kepada Mohamed Khaled Nordin kerana naib presiden Umno itu juga - dakwanya - melanggar SOP beberapa hari sebelum itu.
“Saya ingin mengulas laman Facebook Ops Johor yang mula menularkan cerita ini untuk bertanya sendiri kepada bos mereka iaitu Khaled Nordin yang ditularkan terlebih dahulu melanggar SOP beberapa hari lalu,” kata Mohd Zaihan.
Terdahulu Najib juga secara sinis mendakwa dia keliru dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
"Dah boleh menginap di homestay ke?
"Jap, konpius... kerajaan suruh kita stay at home atau go homestay?" katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai