Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KJ: Penerima vaksin dibenarkan rakam vaksinasi

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) berkata orang awam dibenarkan merakam vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV).

Dia turut mengarahkan supaya prosedur operasi standard (SOP) diamalkan dengan menunjukkan picagari vaksin yang diisi dengan sempurna kepada penerima.

“Saya juga ingin mengumumkan bahawa, untuk tidak berlaku apa-apa keraguan lagi saya telah mengarahkan supaya pemantauan seperti biasa, kita pastikan SOP yang sedia ada iaitu tunjuk kepada penerima vaksin picagari syringe yang sudah pun diisi dengan kuantiti yang sempurna sebelum suntikan itu berlaku.

“Dan yang kedua kebenaran daripada saya, dan saya juga telah minta kebenaran daripada Menteri Kesihatan (Dr Adham Baba) sendiri kalau sekiranya ada arahan untuk tidak diberikan kemudahan ini (rakam video).

“Sekarang ini penerima vaksin bolehlah (rakam) video suntikan vaksin mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pengumuman itu hadir selepas pada bulan lalu terdapat aduan dua individu yang mendakwa mereka menerima suntikan kosong.

Individu lain pula mendakwa mereka tidak dibenarkan merakam video atau merakam gambar.

Sejak Mei, beberapa pusat pemberian vaksin melarang penerima daripada merakam gambar vaksinasi mereka. Tidak ada peraturan rasmi yang diketahui mengenai perkara tersebut.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berharap supaya perkara tersebut dianggap selesai kerana menurutnya tugasan barisan hadapan sedikit terganggu sejak beberapa hari lalu berikutan isu tersebut.

“Saya ambil setiap aduan dari orang ramai secara serius dan saya tidak mahu ambil ringan kerana jika berlakunya sedikit kesilapan, ia dianggap banyak (kesilapan).

“Sudah tentulah kecuaian manusia berlaku di mana-mana jua,” katanya.