Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setiausaha nafi Rashid langgar SOP dalam gambar makan dengan keluarga

Setiausaha sulit kepada Mohd Rashid Hasnon hari ini menafikan timbalan speaker Dewan Rakyat itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila dirakam sedang menikmati hidangan dengan beberapa orang di sebuah lokasi di Johor.

Sebaliknya Mohd Zaihan Mohd Zainal mendakwa kejadian itu berlaku hanya membabitkan Mohd Rashid, isteri dan anaknya di sebuah rumah inap desa (homestay).

Menurut Mohd Zaihan ketika gambar itu dirakam mereka tiga beranak sedang makan sementara menunggu masa untuk sesi penyembelihan lembu korban.

“Selain menyumbang lembu, YB (Mohd Rashid) juga mahu menyembelih (korban) dengan tangannya sendiri.

“Justeru, mengetahui jadual menyembelih lembu adalah pada jam 3 pagi maka beliau dan keluarga menempah homestay berdekatan dengan pusat sembelihan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaihan menambah, gambar yang tular itu diambil pada awal pagi iaitu sebelum sesi penyembelihan dan Mohd Rashid sekeluarga menikmati mentong (makan lewat malam, atau supper).

“Jadi, tidak timbul isu beliau melanggar SOP,” katanya.

Terdahulu tular gambar Mohd Rashid sedang menjamu selera dalam media sosial dengan akaun Ops Johor dikatakan memulakan dakwaan tersebut.

Apa jadi kenduri durian

Untuk rekod sebelum ini Mohd Rashid sudah pernah mencetuskan rasa tidak puas hati orang ramai apabila menghadiri jamuan durian di Batu Pahat. Pada awalnya ahli parlimen Batu Pahat itu mendakwa gambar tersebut dirakam sebelum perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Bagaimanapun dia kemudian meminta maaf dan mengakui hadir pada jamuan berkenaan baru-baru ini dan berjanji memberikan kerjasama kepada polis yang menyiasat insiden tersebut. 

Mohd Zaihan berkata majlis penyembelihan korban itu berlangsung di Pusat Penyembelihan Rengit yang mengambil masa selama 24 jam, dan Mohd Rashid melaksanakan penyembelihannya pada jam 3 pagi.

Tambahnya, lokasi itu juga berada di dalam kawasan parlimen diwaikili Mohd Rashid dan dijalankan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Akmal Nasir

Mohd Zaihan juga memetik nama Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, sebagai individu yang turut berperanan menularkan gambar berkenaan.

“Saya ingin mengulas laman Facebook Ops Johor yang mula menularkan cerita ini untuk bertanya sendiri kepada bos mereka iaitu Khaled Nordin yang ditularkan terlebih dahulu melanggar SOP beberapa hari lalu,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata sekiranya memang benar Mohd Rashid melanggar SOP, ia amat tidak adil kepada rakyat yang terpaksa dikenakan denda berat berbanding ahli politik.

“Benarkah timbalan speaker langgar SOP lagi dengan kali ini makan berjamu ‘gaya tropika’?

“Rakyat yang terkhilaf melakukan kesalahan tiada budi bicara, denda jauh lebih tinggi daripada menteri, siap ada yang direman dan digari,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Akmal turut mempersoalkan status siasatan polis berhubung jamuan durian yang dihadiri Mohd Rashid, memandangkan ia masih belum diketahui.

“Apa jadi dengan ‘kenduri durian’ sebelum ini? Saya sendiri telah buat laporan polis pada 30 Jun tetapi sehingga masih tidak tahu apa hasil siasatan,” soal Ketua Pemuda PKR itu.