Warden pusat jagaan didakwa rogol wanita cacat mental
Seorang warden pusat jagaan swasta dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol seorang penghuni pusat itu di sebuah rumah di sini Oktober tahun lepas.
Tertuduh, Ahmad Irang @ Suhiran Aris, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang wanita berusia 33 tahun apabila dia mengetahui tentang kecacatan mental, gangguan emosi atau kecacatan fizikal wanita itu pada perlakuan jenayah itu.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Kinding Raya 10, Taman Kinding Raya, di dalam daerah Kinta pada 8.20 pagi, 28 Okt 2020.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan minimum, selain pengawasan polis maksimum tiga tahun sepertimana di bawah Seksyen 295 (1A) Kanun Prosedur Jenayah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi manakala tertuduh diwakili peguam K. Shamini.
Priscilla Hemamalini membenarkan lelaki itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Okt untuk sebutan semula kes.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai