Zuraida: Saya dah buka jalan untuk wanita
WAWANCARA | Lebih dua dekad lalu, Zuraida Kamaruddin merupakan wanita bekerjaya yang mengkhususkan kajian tingkah laku pengguna di sebuah syarikat multinasional tanpa sebarang pendedahan terhadap politik.
Berbekalkan keberanian yang ada, dia melibatkan diri dengan PKR sebelum dilantik menjadi anggota kabinet dan kini dianggap sebagai salah seorang wanita paling berkuasa di negara ini.
Ketika ditanya apakah mesejnya kepada pemimpin wanita yang memiliki cita-cita tinggi, Zuraida memberitahu bahawa jalan yang dilaluinya bukanlah jalan yang sering ditempuh tetapi boleh dicontohi.
"Saya lakukan dan cipta jalan itu. Sekarang saya ingin memudahkannya untuk golongan wanita," kata Zuraida ketika wawancara bersama Malaysiakini.
Menurut Zuraida, wanita harus mencipta peluang mereka sendiri untuk berada dalam arus perdana.
Pada 2001, Zuraida mengharumkan namanya dalam sayap wanita Parti Keadilan Nasional (Keadilan) - sebelum dijenamakan sebagai PKR.
Hampir tiga tahun selepas parti itu ditubuhkan, dia mendapati bahawa untuk berada dalam arus perdana ia bermakna dia perlu “duduk dalam kalangan lelaki” dan dia mula melakukannya.
Pada tahun itu, dia dilantik sebagai ketua bahagian Keadilan Bukit Bintang.
"Tak ada siapa nak jadi ketua bahagian Bukit Bintang kerana mereka tiada peluang diletakkan sebagai calon pilihan raya (kerana itu adalah kubu kuat DAP).
"Oleh itu, saya bercakap dengan mereka di sana dan mereka terima saya. Saya jadi ketua bahagian kerana saya ingin bersuara dalam mesyuarat pimpinan negeri di antara semua ketua bahagian.
"Sepanjang perjalanan itu, saya sedar tak cukup hanya berada di peringkat negeri atau bahagian. Saya mesti ke peringkat nasional, kemudian barulah saya boleh terlibat dalam politik arus perdana," jelasnya.
Perjalanan sebagai menteri
Menjelang tahun 2007, Zuraida terpilih sebagai ketua wanita PKR yang membolehkannya dilantik dalam Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Dengan memegang jawatan tersebut, ia sekali gus melayakkan dirinya untuk bertanding di parlimen.
Zuraida yang berhijrah dari Singapura dan tinggal di Ampang sejak zaman mudanya, kemudian dipilih bertanding di parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
PRU tersebut merupakan pilihan raya sulung bagi Zuraida dan dia berjaya menewaskan calon Umno dengan memperoleh 53 peratus undi.
"Saya tinggal di Ampang dan melakukan banyak kerja amal di sana. Saya ada banyak hubungan dengan NGO. Saya memilih untuk ditempatkan di sana, walaupun ia bukanlah kerusi rebutan kerana (majoriti Umno pada tahun 2004) hampir 20,000 undi.
"Tak ada yang nak (kepada kawasan itu), mudahlah saya masuk. Tak perlu bersaing dengan lelaki. Mereka ambil kerusi-kerusi panas. Saya menang," katanya.
Lulusan luar negeri yang kini berusia 63 tahun ini mengakui dia tidak banyak tahu mengenai politik Malaysia ketika terlibat dalam gerakan reformasi.
Pandangannya terhadap wanita yang terlibat dalam politik pada masa itu digambarkan sebagai 'makcik-makcik Umno' yang tidak digemarinya.
Namun pengalaman dalam kerja amal yang dilakukan selama bertahun-tahun - termasuk misi kemanusiaan antarabangsa - membantunya mengurus dan mengumpulkan dana, yang merupakan suatu kemahiran penting dalam politik.
"Saya fokus dengan arah tuju saya dan hanya teruskan. Saya sertai (PKR) sendirian dan saya bina kekuatan dan akar umbi saya.
"Saya berada di situ selama 20 tahun. Beberapa pemimpin Umno beritahu saya mereka perlukan 30 atau 40 tahun nak jadi menteri. Jadi bagi saya, 20 tahun (untuk sampai ke peringkat itu) tidak terlalu lama," katanya.
Pemimpin wanita mesti berkhidmat
Zuraida berkata, dia mahukan 30 peratus wanita terlibat dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menggalakkan PBT melantik lebih ramai kontraktor wanita.
Anak-anak buahnya juga dikehendaki mengikut jalan yang sama iaitu melalui kerja-kerja amal.
"Saya akan minta mereka lakukannya terlebih dahulu - berkhidmat. Kalau kamu ada semangat seperti itu, kamu akan rasa puas dapat membuatkan kehidupan orang lain lebih baik.
"Kalau ada sikap seperti itu, ketika kamu dalam politik, kalau kamu dapat buat orang gembira, kamu akan rasa puas. Kepuasan bukan datang dari kuasa, bukan.
“(Berkhidmat) harus jadi asas kepada kepuasan seseorang. Maka kamu tidak akan menyesal atau kecewa. Sepanjang tempoh itu apa saja yang kamu capai atau dapat, ia bagus untuk kamu," katanya.
Perbalahan Anwar-Azmin
Zuraida menyifatkan 2020 sebagai babak terbaru dalam kerjaya politiknya.
Tahun itu merupakan tahun di mana dia dan sepuluh anggota parlimen lain meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang baru.
Kumpulan PKR yang meompat parti ini akhirnya tinggal 10 orang apabila ahli parlimen Selangau, Baru Bian memutuskan untuk tidak berada dalam PN.
Seramai 10 bekas ahli parlimen PKR ini dikenali sebagai "G10" di kalangan pemimpin PN.
Dia menjelaskan kewujudan kumpulan itu akibat tekanan Presiden PKR, Anwar Ibrahim kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan perdana menteri.
Pada masa itu, katanya tingkah laku Anwar menyukarkan kabinet Mahathir.
Zuraida berkata dia juga hilang rasa hormat kepada Anwar ketika ketua pembangkang itu memaksa Danyal Balagopal Abdullah mengundurkan diri sebagai ahli parlimen Port Dickson bagi membuka jalan untuk pilihan raya kecil pada tahun 2018.
Bagi Zuraida, perkara yang sepatutnya dilakukan Anwar adalah meminta isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan ahli parlimen Pandan atau anak perempuannya Nurul Izzah Anwar selaku ahli parlimen Permatang Pauh untuk mengundurkan diri.
"Dia bukan sahaja ada satu tapi dua (ahli keluarga) di sana. Kenapa dia ambil kerusi orang lain? Itu sikap pentingkan diri sendiri oleh seorang pemimpin," katanya.
Menang dalam kalah
Pada tahun yang sama , PKR mengadakan pemilihan parti yang sekali lagi menyaksikan pertelingkahan antara Anwar dan Zuraida.
Zuraida merupakan orang kanan Azmin Ali dan berkempen sebagai satu pasukan.
Menurut Zuraida, Anwar dan Azmin mempunyai kesepakatan bahawa Anwar perlu memenangi jawatan presiden parti tanpa bertanding.
Manakala penyandangnya - Wan Azizah - memilih untuk tidak mempertahankan kerusinya.
"Kami nak letakkan Azmin menentang Anwar, tapi Azmin kata tak mahu. Azmin tidak mahu parti terbelah dua, tak kira siapa pun menang.
"Azmin kata: 'Tak apa’. Dia akan pertahankan kerusi timbalan presiden. Anwar tak pegang kata-katanya. Azmin berpendapat Anwar harus membalasnya dengan tak meletakkan sesiapapun untuk jadi timbalan presiden. Sebaliknya, Anwar letakkan nama Rafizi (Ramli) untuk mencabar Azmin," katanya.
Kumpulan yang berpihak kepada Azmin-Zuraida akhirnya menang dengan bergaya apabila memenangi tiga daripada lima kerusi naib presiden, majoriti dalam sayap wanita dan sayap pemuda.
Walaupun mandat diberi oleh anggota parti kepada kem Azmin-Zuraida, Zuraida berkata di bawah kepimpinan Anwar, dia dan kemnya akhirnya diketepikan dalam membuat keputusan besar.
"Jadi apa gunanya kita menang dalam pemilihan parti?" tanya Zuraida.
Kami mahu berdamai
Kem Azmin-Zuraida terlibat dalam "perang dingin" dengan kem Anwar berterusan sehingga 2019 sebelum usaha berdamai dimulakan menjelang kongres nasional parti itu di Melaka.
Semasa kongres berkenaan, berlaku perbalahan antara penyokong kedua-dua belah pihak. Penyokong Azmin juga mengadu bahawa Anwar mengarahkan perwakilan untuk memalukan mereka.
Menjelang Januari 2020, masih terdapat usaha untuk berdamai tetapi Zuraida berkata ia dilakukan secara tidak ikhlas.
"Saya okey saja untuk berdamai, tapi kemudian dia (Anwar) tak menunjukkan perubahan. Setelah (kejadian di) Melaka dan sebagainya, kami memutuskan untuk berbuat sesuatu kerana mereka ingin ambil tindakan terhadap saya. Oleh kerana kerajaan PN terima kami, nah! Dan kami tinggalkan parti.
"Saya tak menyesal. Saya percaya untuk buat yang terbaik di mana sahaja saya berada. Ketika saya berada dalam Pakatan Harapan, saya lakukan yang terbaik, ketika saya berada dalam PN, saya lakukan yang terbaik. Saya tidak menyesal," katanya.
Ditanya bagaimana dia meyakinkan pengundinya mengenai perlunya peranannya dalam menjatuhkan kerajaan PH, Zuraida berkata dia tidak punya masalah untuk melakukannya kerana setelah 13 tahun, dia mengenali mereka dengan baik.
Zuraida menjangkakan majoriti undi akan berkurang pada PRU akan datang tetapi tetap yakin menang kerana hubungannya yang erat dengan pengundi di kawasannya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai