Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

CITF: Belum ada janji temu vaksin bagi remaja bawah 18 tahun

Pendaftaran bagi kumpulan remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun untuk mendapatkan vaksin sudah diterima oleh sistem MySejahtera, namun tiada janji temu diberikan kepada kumpulan umur berkenaan buat masa sekarang.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) memaklumkan keutamaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah kepada usaha melengkapkan Fasa 2 dan memantapkan pelaksanaan Fasa 3 di seluruh negara.

Ini katanya termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes harian di kawasan pusat penularan pandemik Covid-19.

"Buat masa ini kerajaan juga telah bersetuju untuk tidak memberikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas individu remaja mengambil dos kedua suntikan vaksin Covid-19 seperti kajian di Amerika Syarikat.

"Namun begitu, bagi pelajar tahun peperiksaan yang telah mencapai usia 18 tahun contohnya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia, termasuk yang akan memasuki usia 18 tahun pada tahun ini, vaksinasi Covid-19 akan diteruskan mengikut penjadualan dan janji temu yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, usaha sedang dilakukan untuk mempergiatkan vaksinasi dalam kalangan guru, kakitangan sekolah dan staf sokongan sekolah sebagai persediaan pembukaan sekolah kelak.

"Pelaksanaan ini dipantau secara bersama oleh Pejabat Pendidikan dan Jabatan Kesihatan di peringkat negeri serta daerah," jelasnya.

CITF berkata pihak KKM juga sedang memuktamadkan garis panduan klinikal pemberian vaksin Pfizer kepada kumpulan remaja yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

"CITF akan membuat makluman lanjut selepas tarikh pelaksanaan vaksinasi bagi golongan ini diputuskan kelak," tambahnya.

Sekolah dijangka dibuka semula pada September depan.