'Wad Covid penuh': Situasi kini terkawal - Pengarah hospital UKM
Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Razman Jarmin memberi jaminan keadaan di wad Covid-19 hospital itu kini terkawal.
Ini selepas poster dipasang di hospital pada Ahad lalu memaklumkan wad Covid-19 sudah penuh.
"Poster itu dibuat pada hujung minggu, Ahad lalu, kerana pada masa itu, kami sudah mencapai kemampuan maksimum untuk Jabatan Kecemasan dan hospital kami.
"Sekarang semuanya sudah terkawal, ia stabil. Malahan, kami sudah menerima pesakit untuk zon kuning dan zon merah (di Jabatan Kecemasan) juga.
"Jadi tidak ada lagi isu pada masa ini," kata Razman ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Dia juga menjelaskan walaupun pada hari poster itu dipasang, Jabatan Kecemasan hospital berkenaan masih menerima pesakit di zon merah.
Pesakit yang ditempatkan di zon merah Jabatan Kecemasan adalah mereka yang mempunyai keadaan kritikal yang memerlukan campur tangan menyelamatkan nyawa.
Mereka yang berada di zon kuning dianggap sebagai pesakit separa kritikal yang perlu dirawat dalam jangka waktu yang singkat.
Gambar poster buatan tangan yang dipasang di kaunter pendaftaran Jabatan Kecemasan hospital dengan tulisan, "makluman, jika anda pesakit Covid, wad Covid penuh" telah beredar di media sosial, di tengah-tengah laporan mengenai sistem penjagaan kesihatan negara yang tertekan.
HCTM UKM adalah hospital Covid-19 hibrid, bermaksud mereka merawat pesakit Covid dan bukan Covid.
Razman berkata, hospital itu pada masa ini mempunyai kira-kira 120 hingga 130 katil untuk pesakit Covid-19 yang tidak kritikal dan sekitar 24 katil untuk pesakit Covid-19 yang kritikal.
"Sekarang kami merancang untuk meningkatkan jumlah katil secara beransur-ansur menjadi 300, untuk pesakit yang tidak kritikal," katanya.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai