Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sidang khas parlimen perlu angkat isu pendidikan, kata Jk pendidikan PH

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) berpandangan bahawa isu pendidikan negara seharusnya diangkat sebagai agenda dalam persidangan khas parlimen.

Dalam kenyataan media hari ini jawatankuasa itu berkata bahawa isu pendidikan sama ada melibatkan sekolah mahupun universiti ketika wabak Covid-19 sama pentingnya dengan isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi.

"Sidang ini amat penting untuk rakyat melalui ahli parlimen mereka mengetahui perancangan kerajaan berhubung isu pendidikan melalui pembentangan situasi pendidikan negara dan perancangan yang telah dirangka oleh pihak KPM dan KPT," kata mereka.

JKPPH merupakan sayap pendidikan PH dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik.

Turut dianggotai Nik Nazmi (PKR-Setiawangsa), Dr Hasan Bahrom (Amanah-Tampin), Teo Nie Ching (DAP-Kulai), Natrah Ismail (PKR- Sekijang), teven Sim Chee Keong (DAP- Bukit Mertajam) dan Rusnah Aluai (PKR- Tangga Batu).

Jawatankuasa itu juga menuntut agar sidang khas parlimen yang akan berlangsung selama lima hari ini memasukkan pembentangan perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai antara agenda mesyuarat.

"Ahli parlimen perlu diberikan ruang untuk bertanya, berbahas dan memberikan pandangan terhadap perancangan yang telah dibentangkan oleh KPM dan KPT, bagi menghormati peranan parlimen sebagai badan semak imbang tertinggi negara.

"JKPPH ingin menegaskan bahawa rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan kerana KPM dan KPT di waktu ini dilihat sebagai kehilangan arah dan hala tuju dalam menguruskan sistem pendidikan negara.

"Ketiadaan pembentangan dari kedua-dua kementerian ini di dalam sidang khas parlimen hanya akan menguatkan lagi pandangan tersebut," katanya.

Dewan Rakyat akan bersidang pada 26 Julai ini selama lima hari sehingga 2 Ogos.

Walau bagaimanapun, pembangkang mengecam sidang khas ini selepas aturan mesyuarat menyatakan pembentangan dalam bentuk penerangan menteri mengenai perancangan kerajaan terkait dengan Program pencegahan Covid-19, Program Vaksinasi, Darurat, dan Pelan Pemulihan Negara sahaja.