PM sertai 300 jemaah solat Aidiladha di Masjid Negara
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di Kuala Lumpur bersama 300 jemaah.
Ketibaan perdana menteri yang berjubah putih pada 8.16 pagi bersama isteri Puan Sri Noorainee Abd Rahman, disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.
Muhyiddin dan para jemaah kemudiannya bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha yang dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan diimamkan oleh Ehsan.
Sementara itu, Ehsan ketika menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk 'Cabaran dan Pengorbanan' berkata Allah SWT telah menganugerahkan pelbagai kenikmatan kepada negara termasuk menyambut Aidiladha pada hari ini walaupun pandemik Covid-19 masih belum reda.
"Tetaplah bersyukur dan memuji Allah SWT kerana semua yang berlaku di atas muka bumi ini hanya Allah yang maha mengetahui.
"Pada tahun ini kita masih menyambut Aidiladha dalam suasana yang mencabar dan kawalan pergerakan yang masih lagi diteruskan berikutan bilangan kes harian yang masih tinggi dan tidak menentu. Jagalah diri dan kesihatan," katanya.
Beliau berkata walau apa pun yang berlaku, Aidiladha tidak boleh kehilangan makna dan initipatinya.
Khutbah itu turut mengingatkan para pemimpin supaya menumpukan sepenuh usaha dan tindakan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.
"Hentikan percakaran yang sia-sia dan bersimpatilah terhadap rakyat," katanya.
Ehsan juga menyeru para jemaah agar bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT bagi memohon pertolongan supaya wabak dan musibah yang sedang melanda negara, diangkat.
Sejurus selesai khutbah Aidiladha, perdana menteri dilihat mula meninggalkan perkarangan masjid pada pukul 9.05 pagi dengan diiringi Zulkifli.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai